Sabtu, 31 Ogos 2013

Ada Rindu Di hujung Hati


Insomnia.

Terkadang susah benar mahu lelap. Bila lelap mudah benar terjaga malam-malam hari. Cemburu pada orang yang sangat mudah tidurnya.

Tapi katanya saya bertuah. Mudah bangun malam. Mudah untuk bertahajjud. Mudah untuk solat sunat. Sesuatu yang tidak terfikir akan saya. Dia melihat apa yang saya tidak 'nampak' sebelum itu.

Pesan itu hidup bersama saya walaupun dia sudah tinggalkan saya. Ya, terngiang-ngiang pada setiap kali saya terjaga pada malam hari.

Kalamullah.

Selalunya dia akan tunjukkan ayat dan terangkan terjermahannya. Tapi hari itu suruh saya cari ayat sekian-sekian. Minta saya bacakan terjemahannya. Saya baca terjemahannya. Terjemahan dalam English yang saya tukarkan dalam bahasa ibunda. Katanya kurang tepat. Saya tunjukkan perkataan itu. Dia buka terjemahan pada gadgetnya. Benar, dua perkataan berbeza.

Baca dan fahamilah Al-Quran. Membaca sahaja sudah besar ganjaranya. Faham akan maksudnya akan membawa ke hati dan tidak tersilap simpang.


Peringatan

2012. Awal tahun. Dia meninggalkan saya dan kawan-kawan. Pada usia muda. Paginya dia masih di pejabat. Berkejaran mnenyiapkan tugasan. Petangnya, dia dijemput Ilahi. Dalam keadaan baik-baik dan mudah.

Perginya dia umpama satu surat peringatan kepada saya. Peringatan tentang sebuah kematian. Benar-benar saya tersentak, persediaan dan usaha yang ada terlalu sedikit. Apa yang ingin saya bawa ke sana.

Ya Allah, Engkau kekalkan peringatan dalam jiwa ini sehingga tiba waktu dan ketikanya...


Rindu

Setiap masa tidak pernah lupa. Tetapi hari ini dan semalam. Hati saya sarat dengan kerinduan.

Kata-kata orang besar syarikat ketika mesyuarat pagi semalam umpama menekan punat ingatan tentang dia. Seperti wayang, satu persatu kisah dia bermain-main di ingatan saya. Kisah suka-duka 11 tahun. Bermula sebagai bos dan akhirnya kawan sejawatan.

Itulah. Orang baik-baik. Budinya tinggi pekertinya elok. Dikenang-kenang. Dirindu-rindu.

Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan