Ahad, 28 April 2013

Bantal saya sudah ada sarung!

Sudah lama hendak buat sarung bantal tapi masih tertanguh. Sibuk. Pejamkan sahaja mata walaupun sebenarnya mata sudah tidak tertahan melibat bantal yang masih tidak bersarung.


Bantal ini pun hasil daripada projek kitar semula. Bantal-bantal yang 'lembik' saya keluarkan isinya dan buat bantal baru. Kainnya pula lebihan daripada langsir.

Sarung yang nak dibuat tidaklah canggih. Paling penting mudah dan cepat siap. Oleh kerana, sekali-sekala menjahit, kenalah skecth sikit. Nanti lain pulak jadinya.


Usaha dimulakan dengan mengukur dan menggunting kain. Saya gunakan pembaris sahaja. Pita pengukur saya hilang! 'organize' sangat la ni.


Jahit lurus bahagian atas dan bawah.


Sempatlah siapkan tiga biji tadi. Kurang sikit rasa sakit mata memandang.



Kurang satu checklist!


Sabtu, 27 April 2013

Ibu, tolong ambilkan cawan...

Sebelum saya 'tergila-gilakan' Martha Stewart, saya menyusun perkakasan rumah dengan tujuan rumah menjadi kemas. Kemas dan teratur tetapi susah untuk diselenggara. Martha Stewart membuka pintu perubahan pada saya. Saya gigih menelaah semua info berkaitan house organization ketika berpantang kelahiran anak lelaki saya pada 2008. Daripada siri tv sehinggalah ke laman web.

Saya mula menyusun perkakasan rumah berdasarkan cara dan resam hidup kami sekeluarga. Menyusun atur bukan sahaja untuk kemas tetapi memudahkan urusan seharian. Antara perkara pertama yang saya ubah adalah tempat menyimpan cawan dan pinggan untuk anak-anak saya.

Kenapa? Sebab selalu terjadi apabila sibuk dengan urusan lain terutama ketika menyiang ikan, anak perempuan saya akan minta bantuan untuk ambilkan cawan untuk dia. Mahu tak mahu kena berhenti untuk ambilkan cawan dia.

Bekas untuk sudu dan seangkatan dengannya, saya gantungkan pada pintu kabinet. Ada tiga semuanya. Saya latih anak saya untuk asingkan peralatan mengikut fungsi.


Mangkuk , gelas dan pinggan saya susun dalam bekas yang ada pembahagi. Bekas daripada IKEA. Harganya saya sudah lupa. Bekas pembahagi ini memudahkan anak saya untuk menyusun sendiri peralatan kegunaan mereka. Gelas dalam slot ini. Mangkuk pula dalam slot ini.


Saya peruntukan satu ruang dalam kabinet khusus untuk perkakasan tersebut dan hadkan jumlah perkakasan yang ada. Kalau banyak lebih susah untuk menyusun.


Dan akhir sekali, ruangan yang dikhususkan perlulah ruang yang senang dicapai oleh anak-anak.


Itu sahaja cerita saya. Tiada lagi dialog "Ibu tolong ambilkan cawan untuk kakak"....

Selain daripada ini, ada banyak tips yang anda boleh dapat di sini. Semoga anda dapat manfaat daripadanya!

Jumaat, 19 April 2013

Cerita Dalam Handbag

Pernah juga saya ambil masa hampir 15 minit mencari kunci rumah. Meraba-raba dalam handbag. Tidak berjumpa. Naik tangga ke bilik untuk mencari kalau-kalau tertinggal atas meja kerja. Masih tidak berjumpa. Turun semula, tuangkan semua isi handbag. Akhirnya, jumpa juga.

Oh, bukan itu sahaja yang saya jumpa. Saya jumpa plastik tisu yang sudah habis, tiket parkir dan segala macam barang yang tidak patut berada dalam handbag. Kalau di tempat awam bagaimana? Lebih-lebih lagi kalau kita berseorangan. Bahaya bukan?

Natijahnya, saya keluar lima belas minit lewat hari itu dan saya sampai di pejabat pukul 8.10 pagi. Punch card saya merah! Bermula hari tersebut, saya mula menyusun atur handbag saya.

Setelah beberapa lama mempraktikan kaedah susun atur, saya dapat mengurangkan barang dalam handbag yang saya usung bawa ke hulu ke hilir setiap hari.

Benda yang selalu berada dalam handbag saya:
1. Kunci (kunci rumah, kunci laci pejabat, kunci laptop saya rangkaikan sekali)
2. Kunci kereta
3. Purse
4. Bekas syiling dan sedikit wang kertas cukup untuk bayar parkir.
5. Telefon
6. Bekas bedak dan gincu
7. Bekas doraemon (tisu, tisu basah, tuala wanita, kad pekerja, pendrive, pengetip kuku, pen)



Bekas ini pula, bekas pertama yang saya gunakan sebagai bekas doraemon . Masalah apabila menggunakan beg ini ialah saya tidak nampak apa isi dalamnya. Sekali lagi terpaksa keluarkan isi 'perut' untuk tengok apa yang ada di dalam.




Kalau susah tukarkan saja. Beg lutsinar lebih praktikal. Saya boleh terus nampak apa yang tiada atau kurang dalam beg ini.Kadang-kadang saya masukkan tiket parkir dalam bekas ini. Harga cuma RM1.80 sahaja di kedai serbaguna.


Untuk handbag, pula saya pastikan handbag akan sekurang-kurangnya tiga poket. Satu poket untuk tempat kunci. Dua poket untuk telefon. Barang-barang lain, saya masukkan dalam hadbag tanpa gunakan handbag organizer.


Ini pula dalam handbag lain. Masih juga ada compartment atau poket khusus untuk kunci dan telefon saya.


Alhamdullilah. Kaedah ini melicinkan lagi aktiviti seharian saya ketika keluar rumah terutama apabila perlu membuka pintu rumah, kereta dan masuk ke pejabat.

Petang tadi ketika keluar pejabat dan menuju ke kereta, saya minta kawan untuk ambilkan kunci dari handbag yang tergalas di bahu saya. Tangan saya penuh dengan hamper. Dengan satu arahan sahaja, ambil kunci dalam poket berzip. Kawan saya berjaya mengambilnya dengan mudah. Binggo!

Rabu, 17 April 2013

Membuang Label botol

Masa saya kecil, emak saya gunakan botol Nescaffe untuk simpan rempah ratus. Banyak juga botol yang emak saya digunakan. Perkara yang paling saya ingat sekali, emak saya akan atur semua botol rempahnya atas para yang abah saya buat khusus untuk botol rempah. Botolnya bersaiz sama besar dan seragam.

Orang kata, di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Eh, betul ke pepatah saya? Apa yang pasti, saya turut mengikut kaedah yang emak saya amalkan dulu. Cuma bezanya, botol nescaffe berubah menjadi botol sos spagetti. Saya ada ceritakan sedikit susun atur bekas rempah saya dalam entri yang lepas, Tempat botol rempah ratus. Sebahagian menggunakan botol sos spagetti dan sebahagian lagi menggunakan bekas plastik daripada Tupperware.


Kenapa tidak gunakan sahaja bekas Tupperware? Lebih bagus kalau kita kitar semula barang-barang. Lagipun terasa sayang hendak membuang botolnya sedangkan saya boleh manfaatkan untuk perkara lain.


Inilah botol sos spagetti kegemaran dua orang anak saya. Label botol perlu dibuang untuk supaya botol lebih kemas. Untuk memudahkan proses membuang label, botol direndam dalam air suam yang dibubuh sabun. 
Pastikan aras air melepasi label yang ingin ditanggalkan. Rendamkan selama setengah jam.


Setelah setengah jam, sapukan minyak masak pada label. Kemudian gosokkan label menggunakan sponge atau berus sehingga label tertanggal.


Beginilah rupa botol selepas label ditanggalkan. Mudah kan? Jadi, bolehlah anda cuba di rumah.

Puan NAS 

Sabtu, 13 April 2013

Mari susun baju dalam laci

Perkara yang sering membuatkan saya 'stress' ialah apabila laci baju bersepah selepas baru disusun. Ya, apabila anak lelaki saya memilih baju sendiri. Kadang-kadang baru sepuluh minit dikemas, sudah bersepah semula. Mencabar jiwa dan raga betul!

Tanya Pak Cik Google. Itulah, perkara pertama saya lakukan untuk menyelesaikan masalah yang tidak berkesudahan ini. Memang ramai yang sanggup berkongsi pengalaman dan kaedah masing-masing di laman web. Sungguh mengujakan dan memberikan inspirasi hingga tidak sabar-sabar hendak mencubanya.


Inilah hasilnya setelah mendapat inspirasi daripada laman web. Baju dilipat dan disusun dalam kotak mengikut jenis seperti t-shirt, seluar dan pijama. Kotak seperti yang saya gunakan memang ada dijual di pasaran. Untuk projek ini, kotak saya sediakan sendiri daripada lebihan kain daripada projek menjahit saya


Beginilah rupa kotak yang saya buat. Mula-mula saya jahit kain dan masukkan kertas keras yang dipotong daripada kotak. Habis semua ilmu matematik saya terpaksa gunakan. Nanti saya tunjukkan satu per satu cara menjahit kotak ini dalam entry yang lain.


Ini pula laci kedua. Saya letakkan seluar dan pakaian dalam.Hajat hati nak buatkan kotak tapi kain dah habis. Jadi, saya gunakan kotak kasut yang dibalut dengan kertas sahajalah.

Sudah dua tahun saya gunakan kaedah ini. Memang berkesan. Susunan baju memudahkan anak saya memilih pakaian yang dia mahukan. Tidaklah seperti sebelum ini, punggah baju sehingga jumpa. Lebih parah apabila baju yang dicari,  disusun pada bahagian paling bawah.

Sabtu, 6 April 2013

Tempat botol rempah ratus


Tidak perlu ubah kalau kaedah atau susun atur yang sedia ada tidak mengganggu urusan hidup anda. Itulah, yang saya utamakan dalam mengatur kehidupan seharian. Ubah apabila perlu.

Ya, ubah apabila perlu. Sesuatu harus dilakukan pada susun atur botol rempah saya. Semua botol rempah, diletakkan dalam bakul plastik pada kabinet dapur.


Inilah rupa tempat rempah saya.


Setiap kali memasak, saya kena angkat bakul untuk ambil rempah. Berat! Setiap kali itulah, hati saya berkata tempat rempah ini perlu diubah.

Tempat rempah yang baru perlulah tempat yang tidak memerlukan saya angkat bakul rempah. Tempat yang terbaik adalah bahagian berlaci.


Laci ini, saya letakkan teh, kopi dan minuman harian sekeluarga. Masih ada sedikit ruang untuk botol rempah saya. Usaha dimulakan dengan mengeluarkan semua balang dari laci dan alihkan ke tempat yang lebih sesuai. Balang teh dan gula saya masih kekalkan sebab kami sekeluarga memang penggemar teh dan selalu buat teh. Jadi, lebih sesuai teh dalam laci ini.


Inilah rupa kabinet saya selepas 30 minit. Lepas ini, saya tidak perlu terbongkok-bongkok untuk mengambil botol rempah.

Susun atur kali ini tidak melibatkan sebarang pembelian baru. Tidak perlu berbelanja besar untuk menjadikan ruang dapur anda kemas. Yang penting kreatif untuk menggunakan sumber yang ada!

Projek Bekas Biskut Raya

Saya selalu mencabar diri saya untuk meminimunkan budget yang diperlukan untuk menyusun atur peralatan dan perkakasan rumah. Lebih bagus kalau tiada duit yang keluar dari poket saya.

Antara projek 'organizing' yang tidak memerlukan saya mengeluarkan duit adalah Projek Bekas Biskut Raya . Bekas plastik biskut raya digunakan raya untuk menyimpan barang dapur seperti cili kering, tepung beras dan tepung pulut. Bekas ini saya kumpul dan bersihkan selepas kuih raya habis. Kalau di kedai harga sebiji botol ini lebih kurang RM1.50.


Inilah rupa bahan kering yang disusun dalam laci. Bekas plastik yang lutsinar memudahkan saya untuk melihat kandungan botol.


Kebiasaannya, saya tidak keluarkan bahan kering daripada plastik. Antaranya sebab saya buat begitu kerana saya ingin pastikan plastik hanya dibuka sewaktu ingin digunakan. Selain itu, saya ingin elakkan tindakbalas kimia (kalau ada) antara bekas plastik dan bahan yang diisi.

Saya gembira kerana duit yang ada boleh digunakan untuk perkara lain!