Khamis, 27 November 2014

Plan, organize & synchronize

Kalau tengokkan tajuk entri, kemain lagi. 


Inilah planner saya masa mula-mula berhijrah daripada personal organizer kertas ke dunia digital. Personal Digital Assistant PalmOne. Tahun 2004. Hadiah daripada Tuan Besar sempena kelahiran kakak. 

Banyak jasanya pada saya. Sempat guna dalam 3 tahun. Lepas tu biasalah, buat perangai. Masa tu oem dah nyawa-nyawa ikan. Hampir pupus. Sedih sungguh kala itu. Kesudahannya, balik semula kepada personal organizer kertas. 


Ke hulu ke hilir usung personal organizer tu. Gigih sungguh. 


Tahun 2009 saya bersalinkan adik. Dapat hadiah gadget lagi. Netbook. Kecil dan lebih ringan daripada laptop biasa. Saya gunakan aplikasi calendar sebagai planner dan reminder. Calendar tu boleh jadi wallpaper. Masa tu perasan canggih sesangat la. 

Kali ini, ke hulu ke hilir usung netbook kecil tu. Handbag tak main saiz kecik-kecik ni. Tak muat nak sumbat netbook. 

Gadget-gadget ni ada lifetime. Akan sakit-sakit kalau dh sampai waktunya. Netbook pun sama macam PDA. Lepas tu balik semula kepada personal organizer kertas yang company bagi. Tak suka sebab dah biasa dengan digital. Leceh sebab cuma ada kalendar sahaja. Setahun jugalah. 


2011, tak bersalin-salin jugak. Takdelah dapat hadiah lagi. Tak tahan, beli Samsung Tablet. Lega. Mula bergantung kepada apps semula. Masuk bulan ketiga, cerminnya retak. Warranty yang ada tidak termasuk cermin. Nak ganti cermin, sama harga beli baru. 


Gambar dari Google

"Remember, with great power comes great responsibility" kata dua daripada Tuan Besar. 

Katanya saya tak sungguh-sungguh menjaga. Denda. Kena tunggu setahun baru boleh ganti. Tak seronok tau.

Lepas setahun, saya mula gunakan iPad dan IPhone. Inilah gadget yang simpan semua tools saya untuk menguruskan kehidupan sehari-hari sampai sekarang. 



Calendar, reminders, email, notes dan penultimate apps adalah planner, organizer dan nota saya. Chore checklist untuk kerja-kerja rumah. Groceries untuk shopping list. Kiranya, kehidupan saya berlegar-legar dlm apps ini. 

Kalendar kerja dan kalendar personal paling penting dalam iPad saya. Kadang-kadang saya copy event dari kalendar kerja ke kalendar personal. Kalendar personal saya kongsikan dengan Tuan Besar. Mudah untuk dia tengok jadual saya terutama kalau saya outstation. Begitulah sebaliknya. Tuan besar selalu hantar event dalam kalendar dan saya boleh terus tengok. Kenduri kahwin, balik kampung, open day Tadika adik semuanya dalam personal calendar. Synchronized antara satu sama lain.

Groceries g untuk shopping list. Apabila saya kemaskini senarai barang yg nak di beli, secara automatik akan dikemaskini ke gadget Tuan Besar. Dia akan tahu apa yang perlu dibeli. 

Dah ada banyak gadget, yang mana satu saya selalu guna?

Kalau di pejabat, saya guna laptop. Di luar pejabat, iPad atau iPhone. Kat rumah lebih selesa dengan iPad. Semuanya synchronized antara satu sama lain.

Berbanding kertas, saya lebih selesa dengan medium digital. Lebih flexible, mudah dikemaskini dan senang diangkut ke mana-mana.

Anda pula macamana?

Selasa, 25 November 2014

Lastik

He is good in writing.

Satu-satunya kawan kerja saya yang bijak membaca fikiran saya dan menterjemahkan dalam ayat-ayat yg mudah dan cantik.

Selalunya, saya akan fikirkan pendekatan atau strategi penyampaian dan dia akan menzahirkannya dalam bentuk ayat yang sesuai. Ianya menjadi regu yg sangat serasi kalau ditugaskan menyiapkan slide pembentangan. 

Kali ini sudah kali ke berapa saya dan dia duduk menyiapkan tugasan. Sudah beberapa kali juga ayat itu diubah. Sekejap mata melihat pada whiteboard yang penuh dengan contengan strategi. Kemudian beralih pula pada paparan projektor. Mahu bandingkan antara pendekatan penyampaian dan apa yang terzahir pada slide. Mahu benar-benar diterima tepat selari dgn maksudnya.

Misi kali ini misi besar. Mahu meyakinkan pihak pengurusan untuk satu projek besar dengan dana yang cukup besar. 

"Saya harap mgmt akan hold you sampai ada team" kata dia selepas diberitahu saya dipujuk untuk keluar dari sini. 

Mukanya kelat. 

"Saya tidak faham kenapa you perlu ke sana?" sambung dia lagi

Bungkam dan kelu. Jari-jari saya berhenti menaip dan bersandar di kerusi. 

"Anggaplah seperti saya pergi bercuti setahun, dua." balas saya. 

"Seperti sabbatical leave?" Sambung dia lagi. 

Saya hanya mengangguk-angguk sahaja. 

Dia seperti cuba mencongak apa sebenarnya yg berlaku. Dia akan keseorangan. Saya faham apa yang terbuku dihatinya tetapi kali ini saya memilih untuk tidak mengungkapkan dalam bentuk perkataan seperti selalunya. 

"Nanti saya panggil you untuk sama-sama dalam team saya" sambung dia. 

Terima kasih kerana percayakan saya. 

"In Sha Allah" hanya itu termampu saya luahkan. Hanya dengan izinNya.

Mungkin ini peluang terbaik untuk memperlahankan sedikit hambatan kesibukan. Peluang untuk mencari jati diri yang hampir hilang. Mungkin juga ada merasakan ini langkah ke belakang dan merugikan tapi percayalah, ini cerita lastik.

Saya ibarat peluru lastik. Ditarik ke belakang supaya melantun laju ke depan...

I'll be back...In Sha Allah. 

Nota kaki - pssst... geng susun atur, saya kembali dengan entry susun atur lepas ni. Tungguuuuu ya!

Ahad, 2 November 2014

I'm losing my sense....

Hari-hari yang dilalui sejak empat bulan lalu amat menyesakkan dada. 

Dihimpit  tugasan outstation yang tidak putus.....I lost my sense of time.

Dihimpit politik pejabat.....I lost my sense of self

Letih.



Tiga minggu ini, pengocak gundah hati saya tiada di pejabat. Outstation. Dia ke UK dan Frankfurt. Seminggu sebelum dia pergi, saya outstation ke Singapura. Empat minggu tidak bersua. Kiranya tempoh yang cukup untuk menghadam segala peristiwa yang berlaku. 

Hati saya tenang-tenang sahaja dalam tempoh empat minggu ini. Mampu berfikir sewarasnya. Menerima keadaan ini seadanya. Mata hati terbuka. Mana mungkin ada yang lebih baik daripada AturanNya. 

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."   

Al Baqarah: 216

Minggu terakhir sebelum dia masuk pejabat, saya putuskan untuk mengakhiri kemelut ini. Saya seikhlasnya memaafkan kamu, bos. Memaafkan semuanya. Noktah.  

Yang berbaki kini hanyalah urusan dengan Dia Yang Maha Agung, yang berhak mengadilinya semuanya.

Hati menjadi lapang-selapangnya. 

Phoenix bangkit dari abu. Kata-kata daripada engineer saya...





Isnin, 21 Julai 2014

Ramadhan Kali Ini

Jutawan RM2

Sedikit lagi mahu sampai ke rumah emak, Tuan Besar buka kisah dari kuliah subuh tadi. Kisah jutawan RM2. Saya tergelak besar diakhir cerita. 

Kata tuan besar, bukan saya sahaja yang tergelak malah semua jemaah tergelak bila sampai pada punch line.

"Apabila hari akhirat nanti, semua kita akan menyesal, samada ahli syurga atau neraka" tambah Tuan Besar. 

Barulah sampai kepada isi kuliah sebenar pagi tadi. Jutawan RM2 hanyalah perencah cerita. 

Ahli neraka itu menyesal? itu biasa. 

Ahli neraka tahu akan betapa azabnya minum air mengelegak tapi tetap masih mahu minum. Mahu hilangkan haus tapi azabnya berterusan tatkala meminumnya. Saat itu, mereka menyesal kerana ingkar kepada Allah ketika hayat.

Ahli syurga juga menyesal? Pelik...

Ahli syurga pula akan terbau akan satu bau yang sangat wangi. Bau dari satu tempat lain. Rupa-rupanya ada syurga yang lebih baik dari syurga itu. Saat itu, ahli syurga juga menyesal akan betapa usaha semasa hayat tidak mencukupi untuk mendapat syurga yang lebih tinggi. 

Ayam dalam kuali masih belum garing. Terngiang-ngiang sambungan cerita Tuan Besar tadi.

"Kat sana nanti, jasad ahli neraka menjadi skala besar. Gigi sahaja sudah besar seumpama sebuah rumah. Semuanya besar belaka. Jadilah berganda-ganda siksaannya jika skala jasad lebih besar " kata Tuan Besar.

Bila dingatkan, insaf. Tetapi selalunya lupa.

WC, WC, WC

Dia tahu saya suka layan bola dan sangat suka dengan kelajuan pemain no 13. Kegilaan pada bola buat saya menonton semua perlawanan pada WC tahun itu. Oh juga ketika 2 pertandingan WC sebelum itu, WC di Germany dan WC Korea/Japan. 

"Puan, ini bukan dari Muller tapi dari team dia," dia bisikan pada saya. 

Dia hulurkan beg kertas. Ada jersey hitam putih. Ada beza sedikit dengan jersey yang saya beli sebelum ini.  Yang ini ada logo WC2010 di lengan. 

Buah tangan itu buat saya ditimpa perasaan. Dapat jersi dari pasukan WC kegemaran saya! 

Kenangan WC 2010. 

------------------

Pukul 4.00 alam berbunyi. Alarm daripada telefon Tuan Besar. Alarm menjerit-jerit tapi Tuan Besar tidak juga mahu bangkit. Begitulah harinya jika ada games. 

WC2014 dalam Ramadhan. Kurang serinya. Teruja juga kurang. Sudah 'tua' untuk gila-gila seperti dulu. Cuma menonton perlawanan selepas peringkat kumpulan. Itupun 2 kali sahaja. Selebihnya highlight.

"Final nanti, Germany vs Netherland" kata saya pada anak buah di pejabat. 

"Brazil la puan" balas Kallal. 

Anak buah menjadi 'lalang' menyokong pasukan Brazil setelah France kalah tempohari. Dendam tak sudah dengan team kegemaran saya. 

"Neymar takde," saya berlalu sambil senyum. 

Benar. Germany ke final. Menang seperti yang dijangkakan. Sedikit tersasar buat Netherland. Hanya mampu meraih tempat ketiga. 

Rasa tidak selesa ketika menonton perlawanan akhir. Hati dihambat rasa bersalah. Malam Ramadhan tapi masih tidak betah melepaskan WC. Iman setipis kulit bawang...

Perjuangan

Sudah bertahun-tahun tinggalkan jenama sekian-sekian. Tinggalkan dan pilih yang lain. Tidak rela bersabit dengan mereka waima sebesar debu sekalipun. 

Masih ada yang terpaksa memilih dan bergantung kepada produk mereka. Tiada pilihan lain. In Sha Allah, esok akan ada galang gantinya. 

Kadangkan teringin benar mahu makan itu. Makan ini. Sudah seperti mengidam rasanya tapi tahankan. Perjuangan perlukan pengorbanan.

Perjuangan kecil ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Bukan juga bermusim. Di seberang sana ada perjuangan antara hidup dan mati. Dikepung dan terpenjara di tanah sendiri. 

Hanya doa dan perjuangan kecil ini dititipkan untuk mereka di sana. 

Cerita Ramadhan kali ini.


Jumaat, 27 Jun 2014

Airmata lagi

Saya sudah tidak peduli lagi kalau pemandu lain perasan keadaan saya ketika itu. Air mata semakin laju. Dikesat tapi tidak juga kering. Ada rindu yang tidak pernah padam. Tidak pernah surut. 

Suara Sheikh Abdul Rahman Al Sudais sungguh menusuk. CD hadiah daripada Ma dan Abah. Pasang dan dengar buat pertama kali. Akan digilirkan dengan  CD Mishary.

Bacaan Sheikh menggamit perbualan kami ketika hayatnya.

"You kenal Abdul Rahman Al Sudais?" dia tanya saya.

"Sheikh baca laju" jawab saya. 

Saya beritahu lagi, saya sukakan bacaan Mishary Rashid Alafashy.

Terus dia buka aplikasi dalam iPad.

"Sedap bacaannya. Asyik sungguh" sambung dia 

Dia bersandar pada kerusi dan pejamkan mata menghayati bacaan Sheikh Abdul Rahman Al Sudais. Nampak seperti orang sedang diamuk cinta. Dia dan Al-Quran, buat saya benar-benar cemburu! 

Setiap kali melewati ayat-ayat tertentu, air mata pasti tumpah. Rindu untuk berbicara seperti dulu. Selalunya berkisar terjemahan kalam Allah. Dibincang dengan santai sekali. 



Hari ini, saya menangis untuk sekian kali. Sudah 3 kali Ramadhan dia tinggalkan saya. 

Rindu. Rindu dan rindu. 

Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Ada Rindu Di Hujung Hati.



Sabtu, 7 Jun 2014

Si Mata Biru

"Kau tengok dia banyak-banyak. Manalah tahu anak kau kenan dia nanti" bisik Kak Lin.

"Nanti keluar, anak mata biru!" Sambung dia lagi sambil mengekek-ngekek.

Kejap-kejap dia panggil Dr Ralf. Konon-konon tak faham. Setiap hari. Bukan main lagi. 

Cerita sepuluh tahun lepas. Waktu itu saya dan Kak Lin dalam kelas Dr Ralf. Kak Lin memang suka Dr Ralf. Payah mahu jumpa orang senegaranya seperti dia. Blue blood with handsome face

Menghabiskan kelas Dr Ralf adalah sesuatu yang memeritkan. Alahan sangat teruk. Tekak hanya mahu susu, roti atau nasi kosong sahaja. 

Lima bulan selepas itu, kakak lahir. Tiada pun mata biru. Darah Melayu. Teori Kak Lin tak menjadi. 


-----

"Ibu nak kakak jadi apa?" tanya kakak. Mahu tahu ibu ingin dia jadi apa bila besar nanti.

"Itu kakak kena fikir sendiri. Kena tahu apa yang kakak suka" balas saya. 

Saya tidak meletak apa-apa harapan mahu dia berkerjaya apa kecuali satu sahaja. 

"Ibu cuma mahu kakak jadi orang baik-baik" sambung saya lagi. 

Perbualan terhenti di situ. Tidak mahu panjangkan definisi orang baik-baik. Saya tahu dia akan bertanya lagi pasal orang baik-baik itu kemudian hari. 

-----

Hari ini, ulangtahun kelahiran kakak. Anak yang suka duduk menempel dan meniru saya. Sangat kritis orangnya tetapi kadang-kadang sedikit kelam kabut. 

Pantas benar waktu berlalu. Masih terbayang-bayang akan momen Tuan Besar memotong tali pusat kakak. Sepertinya baru semalam. Rasa bersyukur kerana Allah pinjamkan kakak sehingga hari ini. Menjadi penawar dan juga perencah dalam kehidupan. Selamat Hari Lahir kakak! 

Selasa, 3 Jun 2014

Kerana terpaksa aku relakan...

Berhimpun depan TV berempat. Saya, kakak, Anjang dan Cikden duduk menonton Kerana Terpaksa, Aku Relakan. Tengok melalui mytonton. Seronok juga apabila sekali sekala menonton ramai-ramai. Izreen makin kurus dan cantik. Komen Cikden, Amar Baharin makin smart sekarang. Nampak lebih kurus dan bergaya. Dulu terlampau jambu...

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Tuan besar keluar. Tidak berkata apa-apa. Diam dan turun ke tingkat bawah. Tiada kata-kata keramat hari ini. 

"Baca Quran lagi bagus..." ayat Tuan Besar kalau lihat saya ralit menonton. 

Tajam sungguh. Tajam sebab benar.

"Bila mahu sambung kerja tadi?" tanya Tuan Besar apabila naik semula.

Sudah terlupa mahu sambung kerja-kerja susun atur dokumen. Rancangnya mahu rehat sekejap sebelum sambung kerja tetapi tersangkut pula depan TV. Agaknya Tuan Besar rimas menengokkan dokumen yang diturunkan dari kabinet masih belum siap dikemaskan. Ini semua salah Izreen dan Amar Baharin! Hahaha...

Petang tadi.

"Boleh tak saya kemaskan bahagian ni?" tanya saya pada Tuan Besar sambil ambil gambar kabinet fail.

"Boleh kalau dah takde kerja sangat" balas Tuan Besar. Pertama kali dapat kebenaran. 

Sebenarnya kabinet ini kawasan larangan untuk semua orang kecuali Tuan Besar. Kabinet untuk simpan fail bil dan urusan kewangan keluarga.



Mula-mula saya tukarkan dahulu label fail. Sekarang sangat galak mahu gunakan kertas glitter. Warna biru.

Hanya gunakan mesin label untuk label. Kena gigih, ada banyak yang perlu disiapkan.



Inilah hasilnya setelah bersambung selepas kena tegur tadi. Hehehe.



Ada beberapa projek lagi untuk kabinet ini. Buat sikit-sikit, lama-lama siap jugak...








Isnin, 26 Mei 2014

Guna semula

Masa awal kahwin dulu, saya pernah beli bekas untuk isi barang kering. Melihat katalognya sahaja sudah buat rasa seronok. Beli satu set dan gunakan sekejap sahaja. Tak kedap udara. Simpan dan simpan sampailah satu hari saya kemaskan kabinet untuk sisihkan mana-mana yang tak digunakan. 


Rasa-rasanya boleh simpan plastik. Keluarkan stok plastik dan masukkan dalam bekas. Siap dan aturkan berderet. Bekas plastik yang tinggi tu pun isi plastik juga. Rupa-rupanya lebih senang nak ambil plastik apabila letak dalam bekas macam ni. Suka. 


Tampalkan kertas yang dipotong ikut saiz plastik pada dinding kabinet. Senang nak mengukur saiz yang sesuai digunakan nanti. 


Meh tengok gambar sepenuhnya ....


Jimat sen saya :)

Selasa, 13 Mei 2014

Jar and label ?

Hari ini cuti tapi semua orang dalam rumah ni busy. Kakak kata dia ada banyak homework. Lepas sarapan terus buat homework. Tuan Besar pula sibuk siapkan slide presentation untuk esok. Haish...program hari nak ke rumah kawan terpaksa tangguhkan. 

Alang-alang tak jadi ke rumah kawan, saya mengerjakan botol rempah saya. Buat label. Bab-bab label ni, saya selalu guna mesin label. Cepat dan pantas...(tapikan sebenarnya leceh nak design dan gunting mengunting kalau buat label sendiri!). Kalau mahu dapat idea pasal label mungkin boleh rujuk blog ini, Blog Yana. Rajin dan taiko bab-bab label ni.


Ini label yang selalu saya gunakan. Senang. Saya pernah buat entry pasal susun atur rempah. Kalau nak tengok boleh rujuk kat sini.


Sepagi duduk reka templates. Duduk menumpang di bilik kakak dek kerana Tuan Besar gunakan meja. Akhirnya siap juga. Guna kertas yang memancar-mancar cahayanya. Glitter meh.



Gunting dengan gunting sahaja. 


Tampalkan pada botol rempah.


Close up sikit.


Ini keadaan laci rempah saya sekarang. Dulu-dulu ada botol sedikit sahaja.Nah, itu sahaja projek saya hari ini.

Isnin, 12 Mei 2014

Buku


Seminggu lepas dia asyik bertanya akan kesukaan saya. Saya katakan saya suka pasal organizing. Suka buku. Soalannya bersambung kepada genre buku kegemaran sehingga bahasa pengantar. Tiada apa-apa syak. 

Semalam. 

"Ibu....ibu dah buka hadiah kakak?" tanya kakak apabila masuk dalam kereta.

Dia berikan hadiah kepada saya semalam, setibanya dari kampung. Katanya, dia balut hadiah tu sendiri. Sebaik mungkin. 

"Dah. Buku Ustaz Kazim" balas saya.



Gigih saya membuka hadiah kakak. Berlapis-lapis. Kertas hadiah dan kertas a4. 

"Kakak tahu ibu suka baca biografi tapi Anjang suruh beli buku tu. Ibu nak baca tak buku tu?" Sambung kakak.

"Mestilah baca sebab kakak yang hadiahkan" 

Ada senyum di wajahnya

Besar atau kecil, kesukaan ibu atau tidak, semuanya ibu terima. Usaha dan ketulusan hati kakak untuk buat ibu gembira sangat-sangat ibu hargai.Terima kasih sayang!
 

Isnin, 5 Mei 2014

Tempat Gantung Handbag

Tidak ke mana menghilang. Menikmati waktu-waktu yang agak kurang sibuk. Peluang yang jarang-jarang datang. Jadi bercutilah sekejap daripada blog dan fb. Menghabiskan beberapa buah buku yang dah mula baca sekian lama tapi tak habis-habis juga. Oklah, berjaya habiskan semuanya. Sampaikan Tuan Besar menegur, mahu ambik exam ker...

Dua tiga bulan ni, projek organizing berjalan seperti biasa cuma tidak berupdate di blog. Cuti blog. Projek terbaru, projek buat tempat gantung handbag. Ada jer jual online tapi gigih nak buat sendiri. 


Berjaya membeli bahan-bahan projek di kedai alatan menjahit selepas balik dari exam. Kepala masih pening-pening lalat dengan akta, peraturan dan adik-beradiknya. Oh, tukul tu saya tak beli. Sedia ada. 


Siap beli tools untuk tebuk dan pasangkan butang.


Tebuk satu lagi bahagian. Boleh kancingkan antara dua tali tu. Mengetuk-mengetuk untuk buat 7 tempat menggantung.  Lepas tu cantumkan kedua-dua tali tadi.


Inilah tempat asal saya gantung handbag. Terlupa nak ambik gambar sebelum. Jadi, bayangkan betapa serabutnya beg bergantungan. 


Inilah rupanya apabila dah gantungkan handbag.


Dah siap terus gantungkan kat tempat biasa gantungkan beg, belakang pintu. Tapi...terlalu panjang sampai meleret ke lantai. Kena adjust tempat gantung dan buat sementara waktu gantung kat wardrobe tu sahaja.


Ahad, 16 Februari 2014

Acar Ikan Tongkol

Acar ikan tongkol. Kegemaran saya. Ada macam-macam versi resepi. Saya punya resepi ini versi Mama.



Bahan-bahannya:

6 ulas bawang merah - blend
2 ulas bawang putih - blend
1 labu bawang besar - belah 6
3 sudu cili blend
1/2 inci halia - hiris
1/2 camca biji sawi
1 biji tomato
1/2 batang timun - potong dan belah 4
Cuka

Cara-caranya

Gorengkan ikan dengan garam.
Angkat dan asingkan.
Tumiskan cili sehingga garing.
Masukkan biji sawi, halia, bawang merah dan bawang putih.
Masukkan air setengah cawan dan cuka secukup rasa
Reneh sekejap dan masukkan ikan tongkol
Masukkan timun dan tomato
Masukkan garam dan gula (atau bahan perasa)

Saya suka berkuah, jadi versi saya ada kuah sikit. Ringkas dan mudah...




Khamis, 13 Februari 2014

Felt dan kabel?

Saya usahakan projek kali ini sebab saya tidak suka lihat keadaan kabel IPhone dan iPad saya dalam bekas yang saya usung ke hulu dan ke hilir ini. Tidak kemas dan berterabur bila saya tarik kabel keluar. 

 
Tak kemas kan...


Saya gunakan kain felt dan getah. Mulanya mahu jahit 3 jaluran getah tetapi akhirnya ubah kepada satu jaluran sahaja.


Inilah rupanya apabila siap. Saya masukkan kertas tebal sebelum cantumkan 2 keping kain felt.


Selitkan kabel pada celah getah.


Bahagian belakang pun saya jahitkan getah, cuma warna sahaja yang berlainan.


Dah siap dan sedia untuk dimasukkan ke tempatnya.


Ok, siap.

Khamis, 30 Januari 2014

Demam dan kotak

"Tengah hari saya mahu ke mall"

Saya cuma mengangguk sahaja dan masuk ke pejabat. Sepertinya tiada apa-apa dengan apa yg Tuan Besar beritahu. Demam buat naluri hati saya juga lemah.

Sudah masuk hari kedua, demam masih tidak mahu kebah. Demam terasa sangat teruk dikala usia semakin bertambah. Tuan besar suruh berehat sahaja di rumah tapi ada urusan yang perlu diselesaikan juga hari ini.

"Ibu bangun, ada sesuatu untuk ibu ," kakak beria-ia suruh saya bangun. 

Tertidur di sofa lengkap bertudung. Penat. Kalau diikutkan, tidak larat waima mahu membuka mata.

"Ayah, ibu tak bangun" sambung kakak.

Buka juga mata dan nampak kakak dengan kotak. Hulurkan tangan untuk ambil kotak. Kakak, adik dan tuan besar menunggu. 

Dalam kotak, ada kad dari adik dan kakak. Ada sampul putih. Dalam sampul putih ada hadiah. Hadiah sempena ulangtahun perkahwinan. 



Oh, saya terlupa pasal ulangtahun. Rupa-rupanya tuan besar ke mall mahu membeli hadiah. Itulah dia, Tuan Besar. Selalu dengan kejutan-kejutan kecil yang cukup untuk membeli jiwa saya. Bukan pada saya sahaja tetapi juga kakak.

Pernah ibu dan kakak dihadiahkan dengan dua kumtum bunga ros. Katanya, ros untuk semua perempuan di rumah ini. Dengan dua kuntum bunga, dia buat hati saya dan kakak seperti belon.

Saya juga berharap adik juga suatu hati nanti serupa lakunya seperti ayah..



Rabu, 29 Januari 2014

Packing list


Apabila kerja luar, beg pakaian yang di heret. Bila balik kampung, beg pakaian juga yang diheret. Balik kampung dan melancong itu seronok tetapi bab kemas dan susun baju dalam beg yang kurang seronok. Peningnya macam mengalahkan nak buat roket...

Kalau masa adik atau kakak masih baby, macam-macam yang nak dibawa. Menjadi satu tekanan pula rasanya apabila mengemaskan barang-barang hendak dibawa. Turun naik tangga berkali-kali untuk ambik itu dan ini tapi tak siap-siap juga!


Senarai ini saya buat semasa adik masih kecil. Lebih kurang 4-5 tahun lepas. Senarai keperluan untuk  2 orang dewasa, seorang kanak-kanak dan bayi untuk perjalanan 3 hari 2 malam. Kalau saya kerja luar, saya selalu rujuk senarai ini. Tak perlu fikir banyak-banyak nak bawa apa.


Tengoklah senarai ni, dah bertahun berkhidmat sampaikan dah tak de rupa. Lagipun tampal kat papan notis. Lama sangat rancang nak buat elok-elok tapi kan sebab keutamaan kurang maka  jadilah macam tu jugak. Sampailah pertengahan tahun lepas, barulah saya dapat kemaskini senarai. 


Ini pula senarai baru. Senarai ini lebih umum dan lengkap dengan bilangan hari. Saya buatkan senarai untuk 5 hari 4 malam. Kalau 3 hari 2 malam masih boleh rujuk senarai ini. Senarai baru ni dah digunakan sejak tahun lepas. Alhamdullillah, memenuhi keperluan dan sesuai dengan cara saya dan keluarga.


Semalam gigih mencetak dan mahu laminate. Sudah tidak mahu tampal pada papan notis.


Buat 4 keping untuk beg ibu, ayah, kakak dan adik. 


Mana mahu letak? Letak dalam beg la...

Senarai ini benar-benar memudahkan saya. Jimat masa dan tenaga. 

Jumaat, 17 Januari 2014

Bobbin oh bobbin

Lagi-lagi berkisah tentang bilik menjahit saya. Sudah masuk tahun baru. Masih belum siap jugak. Susah benar mahu melapah gajah. Kalau yang tidak tahu cerita gajah, boleh rujuk disini, sini dan sini.

Hujung minggu lepas jugak, saya dengan gigih menjahit kain sekolah kakak. Kain potongan A biru tua. Masa tahap 1, pakai baju kurung sahaja. Senang. Main tunjuk-tunjuk sahaja kat kedai. Tak perlu kumpul semangat untuk menjahit.

Masa memula nak menjahit, susah benar nak cari bobbin yang dah ada benang warna biru. Rasa-rasa ada tapi tak jumpa. Selalunya kalau macam tu, cari bobbin baru dan gulungan benang yang mahu tapikan...bila dah siap terjumpa pula warna yang kita cari tadi. Aiseh, rasa macam buang karen ajer.

Siap sahaja menjahit kain sekolah kakak, saya buat projek sikit. 


Kertas pembalut hadiah dengan kotak yang dipotong ikut saiz bekas yang hendak diisi dengan bobbin.


Masukkan kotak yang dibalut dalam bekas bobbin. Bekas ni bekas kuih raya. Pastu cucuk jarum macam gambar kat atas. Satu batang jarum boleh letak 2 bobbin. Nah dah teratur.

Oklah, saya mahu sambung tulis kertas kerja...manalah tahu kot2 CEPSI Jeju mahu terima saya tahun ini !

Ahad, 12 Januari 2014

Batu Seremban

Sebenarnya, sudah lama kakak minta saya buatkan Batu Seremban. Tidak sempat.

Minggu lepas barulah berkesempatan. Meh tengok cara-caranya.


Kakak pilih kain warna biru petak-petak.


Potong kain empat segi sama. Ukurannya kena ikut saiz tangan masing-masing. Kalau besar susah pulak nak main nanti.

 
Masukkan beras dalam kain yang dijahit tadi.

 
Lepas itu, lipat dengan seperti di atas dan jahit.


Inilah rupanya apabila siap berjahit


Lima biji semuanya.


Jahitkan karungnya sekali.
 
Kakak senyum-senyum apabila saya bagitau perihal batu seremban ini....