Sabtu, 31 Ogos 2013

Ada Rindu Di hujung Hati


Insomnia.

Terkadang susah benar mahu lelap. Bila lelap mudah benar terjaga malam-malam hari. Cemburu pada orang yang sangat mudah tidurnya.

Tapi katanya saya bertuah. Mudah bangun malam. Mudah untuk bertahajjud. Mudah untuk solat sunat. Sesuatu yang tidak terfikir akan saya. Dia melihat apa yang saya tidak 'nampak' sebelum itu.

Pesan itu hidup bersama saya walaupun dia sudah tinggalkan saya. Ya, terngiang-ngiang pada setiap kali saya terjaga pada malam hari.

Kalamullah.

Selalunya dia akan tunjukkan ayat dan terangkan terjermahannya. Tapi hari itu suruh saya cari ayat sekian-sekian. Minta saya bacakan terjemahannya. Saya baca terjemahannya. Terjemahan dalam English yang saya tukarkan dalam bahasa ibunda. Katanya kurang tepat. Saya tunjukkan perkataan itu. Dia buka terjemahan pada gadgetnya. Benar, dua perkataan berbeza.

Baca dan fahamilah Al-Quran. Membaca sahaja sudah besar ganjaranya. Faham akan maksudnya akan membawa ke hati dan tidak tersilap simpang.


Peringatan

2012. Awal tahun. Dia meninggalkan saya dan kawan-kawan. Pada usia muda. Paginya dia masih di pejabat. Berkejaran mnenyiapkan tugasan. Petangnya, dia dijemput Ilahi. Dalam keadaan baik-baik dan mudah.

Perginya dia umpama satu surat peringatan kepada saya. Peringatan tentang sebuah kematian. Benar-benar saya tersentak, persediaan dan usaha yang ada terlalu sedikit. Apa yang ingin saya bawa ke sana.

Ya Allah, Engkau kekalkan peringatan dalam jiwa ini sehingga tiba waktu dan ketikanya...


Rindu

Setiap masa tidak pernah lupa. Tetapi hari ini dan semalam. Hati saya sarat dengan kerinduan.

Kata-kata orang besar syarikat ketika mesyuarat pagi semalam umpama menekan punat ingatan tentang dia. Seperti wayang, satu persatu kisah dia bermain-main di ingatan saya. Kisah suka-duka 11 tahun. Bermula sebagai bos dan akhirnya kawan sejawatan.

Itulah. Orang baik-baik. Budinya tinggi pekertinya elok. Dikenang-kenang. Dirindu-rindu.

Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman.

Isnin, 26 Ogos 2013

Bersambung cerita gajah lagi

Cerita gajah saya masih tidak sudah-sudah.

Huh, susah benar nak kemaskan bilik menjahit ni. Ada sahaja yang tidak kena. Menjahit tidaklah banyak. Untuk diri sendiri sahaja tapi banyak sangat barangnya. Rimas seh!

Masa bulan puasa hari itu, saya sempat kemaskan kain lebihan buat tudung. Rupa-rupanya banyak yang boleh dibuat tudung kanak-kanak. Meh tengok macamana projek kemas kain tudung lycra.







Oklah, entri ekspres. Semua mahu cepat sahaja...

Selasa, 20 Ogos 2013

Kebun durian

Kesempatan yang jarang-jarang muncul.

Pagi Hari Raya kedua. Seawal 7 pagi, saya, abah, ma, Maksu dan Ayah Da ke kebun durian. Kebun yang menyimpan seribu cerita dan kenangan dengan arwah Aki dan Wan.

Ada rindu yang bertandang...



Sepertinya baru semalam, bersama-sama dengan Wan dan Maksu di kebun durian. Masak Nasi dan mandi sungai. Menjelang petang, duduk dibelakang lori bersama-sama dengan bakul durian untuk balik ke rumah. Tahun-tahun sebelum arwah Aki jatuh sakit diserang angin ahmar.

Pokoknya semakin meninggi.Sungguh tenang disini.


Buah manggis sudah mahu masak. Menunggu masa sahaja. Dulu-dulu saya memanjat sampai ke atas. Dahan pokok manggis kan tersusun cantik. memang mudah nak memanjat. Kini, pokoknya sangat tinggi.


Ini pula pokok rambai..


Cempedak juga berlumba-lumba membuahkan hasil.


Agak-agak durian dah gugur sekarang. Huh, teringinnya balik kampung lagi!



Isnin, 19 Ogos 2013

Hanger tudung...


Selepas saya buat entri pasal susun inner tudung,ada yang tanya macamana saya simpan tudung. Sebenarnya saya tak ada kaedah lain selain gunakan hanger tudung.Hanger biasa. Yang ada lubang bulat-bulat untuk sangkut tudung. Kat pasar malam ada. Kat IKEA pun ada.




sebab kaedah biasa-biasa, tak ada apa yang hendak diulas...

Rabu, 14 Ogos 2013

Satu Hari Di Hari Raya

Hari Raya saya bermula pukul 4 pagi. Berduet dengan Mak Su di dapur. Percubaan membuat Nasi Beriani. Alhamdullillah, menjadi juga hasilnya.


Bersarapan sebelum ke semua bergerak ke masjid.

Agak penuh juga meja dengan juadahnya. Tapiii...semuanya tinggal habuk sahaja menjelang 2 petang.



Raya kali ini saya hanya sempat ziarah beberapa buah rumah sahaja. Setiap kali mahu keluar, setiap kali itulah saudara mara datang menyerang. Beramai-ramai kaedahnya.


Lepas satu kumpulan, bersambung lagi dan lagi. Keputusannya, saya menunggu rumah sahajalah. 


Anak-anaklah yang paling seronok


Bertembung waktu mahu pulang. Bersalaman pula di halaman rumah.



Saya sudah penat mahu ambil gambar petang harinya. Tuan Besar pula sibuk-sibuk jadi photographer.

Pukul 2 petang, Mak Su masuk dapur semula buat mee goreng. Manalah tau ada tetamu lagi petangnya. Memang betul, Ayah Cik ziarah selepas balik dari kerja di laut.


Geng-geng yang makan mee goreng dek kerana Nasi Beriani sudah habis.


Ini pula gambar raya kedua. Rasanya cam mimpi. Semuanya dah besar !


Sesi makan laksa


Dalam riuh rendah, dua biras sibuk mengerjakan durian!


Aidil Fitri dan auranya. Setiap kali raya saya pasti menunggu waktu itu. Perasaan yang sungguh halus. Datangnya tidak tentu ketika dan masanya tetapi pastinya datang. Rasa yang diberikan oleh Dia, Allah Yang Maha Agung. Perasaan yang tentunya akan saya rindui lagi..

Selasa, 13 Ogos 2013

Menjelang Syawal

Balik kampung beraya.

Bertolak balik kampung setelah matahari tegak di kepala hari Isnin. Ikut jadual Tuan Besar. Dia ada kuliah hari Sabtu dan Ahad.

Anak gembira. Saya? Tipulah kalau saya kata tidak gembira. Cumanya tidaklah berperasaan seperti masa kanak-kanak dulu. Dulunya, gembira bila dapat pakai baju baru. Makan rendang. Paling seronok bila dapat duit raya!

Bila usia begini, seronoknya datang bila semua berkumpul. Sama-sama menyediakan juadah raya. Macam-macam ragam. Macam-macam kerenah.

Cuti panjang kali ini, saya sempat dua kali bertarawih dengan ma dan abah bersekali dengan Wan Wook. Lepas terawih, sambung pula dengan moreh. Habis moreh hari Isnin, saya sibuk-sibuk dengan pen dan kertas. Catat apa-apa yang perlu dibeli.

Juga bincang siapa kena siapkan menu. Menu untuk pagi raya. Saya dan Mak Su buat itu. Anjang buat menu sekian. Mak Teh sediakan sekian-sekian. Cik Den kena sediakan rendang. Haha, menu paling menakutkan. Abah sangat kenal rendang yang Ma buat. Nasibla Cik Den.

Malam raya, dua biras sibuk mengerjakan pelita. Apinya besar sebab sumbunya terlebih panjang. Padamkan semula. Tarik sedikit sumbunya ke dalam dan api kurang sedikit marak. Yeay!

 

Kerahkan geng bakar satay lepas siapkan pelita.

Bakar 5 cucuk. Makan 3 cucuk. Adoila



Ada jugak pulut durian. Ma sibuk-sibuk buat petang sebelum berbuka.


Abah bersembang sampai geng bakar satay siap operasi. Ayah Da saya pun sama bersembang. Tidak tahu penat. Walhal baru tiba di Malaysia Tercinta petang sebelum berbuka.



Dua hari sebelum raya yang sangat seronok!

Ahad, 4 Ogos 2013

Penghujung Ramadhan


Tiga hari sahaja lagi Ramadhan akan berakhir. Cepatnya waktu berlalu. Merenung semula Ramadhan kali ini, ada azam yang berjaya dilaksanakan. Ada yang sedikit yang tidak dicapai. Ralat. Moga masih ada peluang untuk bertemu Ramadhan yang datang.

Bercerita tentang iftar, hanya dua kali saya ke Pasar Ramadhan. Membeli juadah berbuka. Selebihnya saya memasak.

"Terlalu banyak godaan. Macam-macam makanan ada" kata kakak.

Seingat saya, itulah kali pertama kakak ke pasar Ramadhan. Kalau berbuka di rumah, menunya macam hari-hari biasa. Bezanya cuma ada kurma dan teh o panas. Kuih terkadang ada terkadang tidak.

Alhamdulillah, usaha yang saya mulakan pada Ramadhan tahun sudah mula menampakkan hasilnya. Seisi rumah sudah mula selesa dengan apa yang ada.Cuma ada sekali dua saya buatkan menu permintaan kakak. Yalah, meraikan dia yang sangat gigih berpuasa. Tahun ini, permintaannya Nasi Tomato.


Tahun ini, kakak pilih oren sebagai warna baju raya. Bukan warna pilihan ibu.



Baju melayu ayah, adik dan baju ibu beli yang siap sahaja. Warna Oren tau. Ibu hanya jahitkan baju kurung kakak. 2 pasang.


Corak baju kurung kedua memang warna pilihan ibu. Sudah lama beli kain. Seingatnya awal tahun ini.



Hajatnya mahu jahit baju kurung untuk diri sendiri tapi fikirkan lebih baik lebihkan perkara lain bersempena Ramadhan ini. Sepatutnya mula menjahit sebelum Ramadhan, barulah Ramadhan tidak sibuk-sibuk nak menjahit. In Sha Allah, harus bersedia lebih awal kalau mahu menjahit sendiri.

Persediaan lain, adalah sedikit kerepek,biskut raya, pakaian dan duit raya untuk emak, ma dan abah. Juga skirt yang saya jahit untuk anak sepupu dua beradik yang akan balik beraya di rumah ma dan abah.


Tuan Besar sudah tukarkan duit raya seawal minggu pertama Ramadhan. Kakak dan adik kena isi duit dalam sampul. Semuanya selesai awal-awal lagi. Saya pun sudah bahagikan duit raya pada Jumaat lepas untuk anak buah di pejabat. :)


Oklah, cukuplah ya. Saya mahu kemas beg untuk balik kampung...