Memaparkan catatan dengan label Nota hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nota hati. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Januari 2016

Sawang

Kekok.

Lama benar tidak menulis. 

Taip. Padamkan. Taip. Padamkan lagi. Huh, benar-benar kekok. Jari-jari sudah tidak synchronize dengan minda. Beku dan kejung belaka.

Lama tidak menulis bukan sebab suka-suka, tapi ada perkara yang harus melalui pertimbangan. Ditahan perasaan untuk menulis. Ditahan hingga langsung terlupa laman ini. 

Alhamdulillah. Hari ini tiba-tiba ada bunga-bunga dihati untuk menulis lagi. Mungkin ini hikmahnya setelah dua hari di Balai Cerap Baitul Hilal. Ada semangat baru yang tiba-tiba muncul. 

Moga-moga selepas ini, tiada lagi sawang di laman ini. In Sha Allah.

Saya kongsikan gambar saya ambil sendiri ketika di Balai Cerap. Misi meneropong yang jauh agar bisa menjinak hati. 



Wahai jiwa, jangan pernah lupa, yang dilihat ini milik Dia. Al-Khalid. 


Selasa, 25 November 2014

Lastik

He is good in writing.

Satu-satunya kawan kerja saya yang bijak membaca fikiran saya dan menterjemahkan dalam ayat-ayat yg mudah dan cantik.

Selalunya, saya akan fikirkan pendekatan atau strategi penyampaian dan dia akan menzahirkannya dalam bentuk ayat yang sesuai. Ianya menjadi regu yg sangat serasi kalau ditugaskan menyiapkan slide pembentangan. 

Kali ini sudah kali ke berapa saya dan dia duduk menyiapkan tugasan. Sudah beberapa kali juga ayat itu diubah. Sekejap mata melihat pada whiteboard yang penuh dengan contengan strategi. Kemudian beralih pula pada paparan projektor. Mahu bandingkan antara pendekatan penyampaian dan apa yang terzahir pada slide. Mahu benar-benar diterima tepat selari dgn maksudnya.

Misi kali ini misi besar. Mahu meyakinkan pihak pengurusan untuk satu projek besar dengan dana yang cukup besar. 

"Saya harap mgmt akan hold you sampai ada team" kata dia selepas diberitahu saya dipujuk untuk keluar dari sini. 

Mukanya kelat. 

"Saya tidak faham kenapa you perlu ke sana?" sambung dia lagi

Bungkam dan kelu. Jari-jari saya berhenti menaip dan bersandar di kerusi. 

"Anggaplah seperti saya pergi bercuti setahun, dua." balas saya. 

"Seperti sabbatical leave?" Sambung dia lagi. 

Saya hanya mengangguk-angguk sahaja. 

Dia seperti cuba mencongak apa sebenarnya yg berlaku. Dia akan keseorangan. Saya faham apa yang terbuku dihatinya tetapi kali ini saya memilih untuk tidak mengungkapkan dalam bentuk perkataan seperti selalunya. 

"Nanti saya panggil you untuk sama-sama dalam team saya" sambung dia. 

Terima kasih kerana percayakan saya. 

"In Sha Allah" hanya itu termampu saya luahkan. Hanya dengan izinNya.

Mungkin ini peluang terbaik untuk memperlahankan sedikit hambatan kesibukan. Peluang untuk mencari jati diri yang hampir hilang. Mungkin juga ada merasakan ini langkah ke belakang dan merugikan tapi percayalah, ini cerita lastik.

Saya ibarat peluru lastik. Ditarik ke belakang supaya melantun laju ke depan...

I'll be back...In Sha Allah. 

Nota kaki - pssst... geng susun atur, saya kembali dengan entry susun atur lepas ni. Tungguuuuu ya!

Ahad, 2 November 2014

I'm losing my sense....

Hari-hari yang dilalui sejak empat bulan lalu amat menyesakkan dada. 

Dihimpit  tugasan outstation yang tidak putus.....I lost my sense of time.

Dihimpit politik pejabat.....I lost my sense of self

Letih.



Tiga minggu ini, pengocak gundah hati saya tiada di pejabat. Outstation. Dia ke UK dan Frankfurt. Seminggu sebelum dia pergi, saya outstation ke Singapura. Empat minggu tidak bersua. Kiranya tempoh yang cukup untuk menghadam segala peristiwa yang berlaku. 

Hati saya tenang-tenang sahaja dalam tempoh empat minggu ini. Mampu berfikir sewarasnya. Menerima keadaan ini seadanya. Mata hati terbuka. Mana mungkin ada yang lebih baik daripada AturanNya. 

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."   

Al Baqarah: 216

Minggu terakhir sebelum dia masuk pejabat, saya putuskan untuk mengakhiri kemelut ini. Saya seikhlasnya memaafkan kamu, bos. Memaafkan semuanya. Noktah.  

Yang berbaki kini hanyalah urusan dengan Dia Yang Maha Agung, yang berhak mengadilinya semuanya.

Hati menjadi lapang-selapangnya. 

Phoenix bangkit dari abu. Kata-kata daripada engineer saya...





Isnin, 21 Julai 2014

Ramadhan Kali Ini

Jutawan RM2

Sedikit lagi mahu sampai ke rumah emak, Tuan Besar buka kisah dari kuliah subuh tadi. Kisah jutawan RM2. Saya tergelak besar diakhir cerita. 

Kata tuan besar, bukan saya sahaja yang tergelak malah semua jemaah tergelak bila sampai pada punch line.

"Apabila hari akhirat nanti, semua kita akan menyesal, samada ahli syurga atau neraka" tambah Tuan Besar. 

Barulah sampai kepada isi kuliah sebenar pagi tadi. Jutawan RM2 hanyalah perencah cerita. 

Ahli neraka itu menyesal? itu biasa. 

Ahli neraka tahu akan betapa azabnya minum air mengelegak tapi tetap masih mahu minum. Mahu hilangkan haus tapi azabnya berterusan tatkala meminumnya. Saat itu, mereka menyesal kerana ingkar kepada Allah ketika hayat.

Ahli syurga juga menyesal? Pelik...

Ahli syurga pula akan terbau akan satu bau yang sangat wangi. Bau dari satu tempat lain. Rupa-rupanya ada syurga yang lebih baik dari syurga itu. Saat itu, ahli syurga juga menyesal akan betapa usaha semasa hayat tidak mencukupi untuk mendapat syurga yang lebih tinggi. 

Ayam dalam kuali masih belum garing. Terngiang-ngiang sambungan cerita Tuan Besar tadi.

"Kat sana nanti, jasad ahli neraka menjadi skala besar. Gigi sahaja sudah besar seumpama sebuah rumah. Semuanya besar belaka. Jadilah berganda-ganda siksaannya jika skala jasad lebih besar " kata Tuan Besar.

Bila dingatkan, insaf. Tetapi selalunya lupa.

WC, WC, WC

Dia tahu saya suka layan bola dan sangat suka dengan kelajuan pemain no 13. Kegilaan pada bola buat saya menonton semua perlawanan pada WC tahun itu. Oh juga ketika 2 pertandingan WC sebelum itu, WC di Germany dan WC Korea/Japan. 

"Puan, ini bukan dari Muller tapi dari team dia," dia bisikan pada saya. 

Dia hulurkan beg kertas. Ada jersey hitam putih. Ada beza sedikit dengan jersey yang saya beli sebelum ini.  Yang ini ada logo WC2010 di lengan. 

Buah tangan itu buat saya ditimpa perasaan. Dapat jersi dari pasukan WC kegemaran saya! 

Kenangan WC 2010. 

------------------

Pukul 4.00 alam berbunyi. Alarm daripada telefon Tuan Besar. Alarm menjerit-jerit tapi Tuan Besar tidak juga mahu bangkit. Begitulah harinya jika ada games. 

WC2014 dalam Ramadhan. Kurang serinya. Teruja juga kurang. Sudah 'tua' untuk gila-gila seperti dulu. Cuma menonton perlawanan selepas peringkat kumpulan. Itupun 2 kali sahaja. Selebihnya highlight.

"Final nanti, Germany vs Netherland" kata saya pada anak buah di pejabat. 

"Brazil la puan" balas Kallal. 

Anak buah menjadi 'lalang' menyokong pasukan Brazil setelah France kalah tempohari. Dendam tak sudah dengan team kegemaran saya. 

"Neymar takde," saya berlalu sambil senyum. 

Benar. Germany ke final. Menang seperti yang dijangkakan. Sedikit tersasar buat Netherland. Hanya mampu meraih tempat ketiga. 

Rasa tidak selesa ketika menonton perlawanan akhir. Hati dihambat rasa bersalah. Malam Ramadhan tapi masih tidak betah melepaskan WC. Iman setipis kulit bawang...

Perjuangan

Sudah bertahun-tahun tinggalkan jenama sekian-sekian. Tinggalkan dan pilih yang lain. Tidak rela bersabit dengan mereka waima sebesar debu sekalipun. 

Masih ada yang terpaksa memilih dan bergantung kepada produk mereka. Tiada pilihan lain. In Sha Allah, esok akan ada galang gantinya. 

Kadangkan teringin benar mahu makan itu. Makan ini. Sudah seperti mengidam rasanya tapi tahankan. Perjuangan perlukan pengorbanan.

Perjuangan kecil ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Bukan juga bermusim. Di seberang sana ada perjuangan antara hidup dan mati. Dikepung dan terpenjara di tanah sendiri. 

Hanya doa dan perjuangan kecil ini dititipkan untuk mereka di sana. 

Cerita Ramadhan kali ini.


Jumaat, 27 Jun 2014

Airmata lagi

Saya sudah tidak peduli lagi kalau pemandu lain perasan keadaan saya ketika itu. Air mata semakin laju. Dikesat tapi tidak juga kering. Ada rindu yang tidak pernah padam. Tidak pernah surut. 

Suara Sheikh Abdul Rahman Al Sudais sungguh menusuk. CD hadiah daripada Ma dan Abah. Pasang dan dengar buat pertama kali. Akan digilirkan dengan  CD Mishary.

Bacaan Sheikh menggamit perbualan kami ketika hayatnya.

"You kenal Abdul Rahman Al Sudais?" dia tanya saya.

"Sheikh baca laju" jawab saya. 

Saya beritahu lagi, saya sukakan bacaan Mishary Rashid Alafashy.

Terus dia buka aplikasi dalam iPad.

"Sedap bacaannya. Asyik sungguh" sambung dia 

Dia bersandar pada kerusi dan pejamkan mata menghayati bacaan Sheikh Abdul Rahman Al Sudais. Nampak seperti orang sedang diamuk cinta. Dia dan Al-Quran, buat saya benar-benar cemburu! 

Setiap kali melewati ayat-ayat tertentu, air mata pasti tumpah. Rindu untuk berbicara seperti dulu. Selalunya berkisar terjemahan kalam Allah. Dibincang dengan santai sekali. 



Hari ini, saya menangis untuk sekian kali. Sudah 3 kali Ramadhan dia tinggalkan saya. 

Rindu. Rindu dan rindu. 

Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Ada Rindu Di Hujung Hati.



Isnin, 12 Mei 2014

Buku


Seminggu lepas dia asyik bertanya akan kesukaan saya. Saya katakan saya suka pasal organizing. Suka buku. Soalannya bersambung kepada genre buku kegemaran sehingga bahasa pengantar. Tiada apa-apa syak. 

Semalam. 

"Ibu....ibu dah buka hadiah kakak?" tanya kakak apabila masuk dalam kereta.

Dia berikan hadiah kepada saya semalam, setibanya dari kampung. Katanya, dia balut hadiah tu sendiri. Sebaik mungkin. 

"Dah. Buku Ustaz Kazim" balas saya.



Gigih saya membuka hadiah kakak. Berlapis-lapis. Kertas hadiah dan kertas a4. 

"Kakak tahu ibu suka baca biografi tapi Anjang suruh beli buku tu. Ibu nak baca tak buku tu?" Sambung kakak.

"Mestilah baca sebab kakak yang hadiahkan" 

Ada senyum di wajahnya

Besar atau kecil, kesukaan ibu atau tidak, semuanya ibu terima. Usaha dan ketulusan hati kakak untuk buat ibu gembira sangat-sangat ibu hargai.Terima kasih sayang!
 

Khamis, 30 Januari 2014

Demam dan kotak

"Tengah hari saya mahu ke mall"

Saya cuma mengangguk sahaja dan masuk ke pejabat. Sepertinya tiada apa-apa dengan apa yg Tuan Besar beritahu. Demam buat naluri hati saya juga lemah.

Sudah masuk hari kedua, demam masih tidak mahu kebah. Demam terasa sangat teruk dikala usia semakin bertambah. Tuan besar suruh berehat sahaja di rumah tapi ada urusan yang perlu diselesaikan juga hari ini.

"Ibu bangun, ada sesuatu untuk ibu ," kakak beria-ia suruh saya bangun. 

Tertidur di sofa lengkap bertudung. Penat. Kalau diikutkan, tidak larat waima mahu membuka mata.

"Ayah, ibu tak bangun" sambung kakak.

Buka juga mata dan nampak kakak dengan kotak. Hulurkan tangan untuk ambil kotak. Kakak, adik dan tuan besar menunggu. 

Dalam kotak, ada kad dari adik dan kakak. Ada sampul putih. Dalam sampul putih ada hadiah. Hadiah sempena ulangtahun perkahwinan. 



Oh, saya terlupa pasal ulangtahun. Rupa-rupanya tuan besar ke mall mahu membeli hadiah. Itulah dia, Tuan Besar. Selalu dengan kejutan-kejutan kecil yang cukup untuk membeli jiwa saya. Bukan pada saya sahaja tetapi juga kakak.

Pernah ibu dan kakak dihadiahkan dengan dua kumtum bunga ros. Katanya, ros untuk semua perempuan di rumah ini. Dengan dua kuntum bunga, dia buat hati saya dan kakak seperti belon.

Saya juga berharap adik juga suatu hati nanti serupa lakunya seperti ayah..



Khamis, 26 Disember 2013

Dr McDreamy


Membelek majalah ketika penerbangan ke Utara. Ada Dr McDreamy. Soalan kakak tempoh hari muncul semula. 


"Dulu,cita-cita  ibu nak jadi doktor kan?" Tanya kakak.

Mungkin genre buku-buku yang saya gemar baca mencuit rasa ingin tahu kakak. 

"Ya" jawapan pendek dari saya

"Abis tu kenapa ibu tak jadi doktor" sambung kakak lagi

Kakak hanya tahu cita-cita itu sahaja tapi sebenarnya ibu pernah bercita-cita mahu jadi macam-macam. Bermula dengan guru, beralih kepada pensyarah dan akhirnya sungguh terpesona dengan uniform putih seorang doktor. Mahu jadi neurologist. Terselit juga rasa mahu jadi psychologist. Indahnya mimpi budak darjah 3 itu.

Soal kakak, kenapa ibu tak jadi doktor?

Antara impian hati sejak anak-anak dan istikharah. Ibu pilih apa yang datang setelah istikharah. Nekad.
 
Awalnya bergelut dengan perasaan akan pilihan ibu. Bertahun-tahun juga dan akhirnya ibu fahami kenapa Allah lorongkan ibu ke jalan ini. 

Mana mungkin ada cacat dan cela aturanNya. Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang di langit dan bumi. Allah Maha Besar!

Buat kakak, binalah cita-cita apapun yang kakak mahu tapi yang utama, sandaran dan tujuan hanyalah satu. untuk Dia dan kerana Dia, Allah Yang Satu. 





Khamis, 28 November 2013

Bos

7.40 pagi di kafeteria. Dia duduk di sebelah setelah minta izin.

"Macamana bos baru?"

Soalan cepu emas. Tidak terfikir soalan itu akan ditanya. Berfikir-fikir mencari satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan persepsi saya terhadap bos baru. 

"Tapikan....bos lama handsome!" Sambung dia lagi setelah lama saya terdiam.  

Berpandangan dan pecah ketawa berdua. Masih belum berjumpa perkataan yang sesuai untuk bos  baru. 

"Mr J is a good planner and executer" kata saya pada dia. 

Tidak menjawab soalan. Mr J adalah bos lama saya. Kehilangan kata-kata. tidak mampu mencari perkataan yang sesuai untuk bos baru.Mungkin ambil masa yang lama untuk ketemu. Sesungguhnya, Mr J telah meninggalkan kesan yang mendalam.

Akhir-akhir ini, jiwa sepertinya terjatuh. Motivasi seakan rebah dan tidak mahu-mahu pulih. Tidak seperti selalu. Jatuh tetapi melantun semula. 

Kehidupan pejabat agak huru-hara. Penangan bos baru. Ada saat dan waktunya, dada terasa sesak dengan keadaan. Sepertinya kelam dan payah di hadapan.

Mahu berehat sebentar. Memulih semula apa yang hilang.

" Ya Allah, moga pekerjaan inilah yang membawa aku kepadaMu dan membuka jalan-jalan ke syurga"













Isnin, 4 November 2013

Doa


Kakak merengkuk atas katil saya. Baca novel lagi.Begitulah selalunya. Menyelinap masuk ke bilik saya.

"Hah, tak study. Nanti dapat 80 lagi" kata saya.

Muka dia berkerut. 

"Kakak takut."

Saya pandang dia. Tidak faham.

"Kata-kata ibu kan doa"

Saya diam. Rupanya dia takut kata-kata saya menjadi realiti.


Anak ini mengingatkan saya yang selalu lupa. Setiap tutur saya adalah doa buat dia. Bercakaplah yang baik-baik untuk anak. 









Sabtu, 31 Ogos 2013

Ada Rindu Di hujung Hati


Insomnia.

Terkadang susah benar mahu lelap. Bila lelap mudah benar terjaga malam-malam hari. Cemburu pada orang yang sangat mudah tidurnya.

Tapi katanya saya bertuah. Mudah bangun malam. Mudah untuk bertahajjud. Mudah untuk solat sunat. Sesuatu yang tidak terfikir akan saya. Dia melihat apa yang saya tidak 'nampak' sebelum itu.

Pesan itu hidup bersama saya walaupun dia sudah tinggalkan saya. Ya, terngiang-ngiang pada setiap kali saya terjaga pada malam hari.

Kalamullah.

Selalunya dia akan tunjukkan ayat dan terangkan terjermahannya. Tapi hari itu suruh saya cari ayat sekian-sekian. Minta saya bacakan terjemahannya. Saya baca terjemahannya. Terjemahan dalam English yang saya tukarkan dalam bahasa ibunda. Katanya kurang tepat. Saya tunjukkan perkataan itu. Dia buka terjemahan pada gadgetnya. Benar, dua perkataan berbeza.

Baca dan fahamilah Al-Quran. Membaca sahaja sudah besar ganjaranya. Faham akan maksudnya akan membawa ke hati dan tidak tersilap simpang.


Peringatan

2012. Awal tahun. Dia meninggalkan saya dan kawan-kawan. Pada usia muda. Paginya dia masih di pejabat. Berkejaran mnenyiapkan tugasan. Petangnya, dia dijemput Ilahi. Dalam keadaan baik-baik dan mudah.

Perginya dia umpama satu surat peringatan kepada saya. Peringatan tentang sebuah kematian. Benar-benar saya tersentak, persediaan dan usaha yang ada terlalu sedikit. Apa yang ingin saya bawa ke sana.

Ya Allah, Engkau kekalkan peringatan dalam jiwa ini sehingga tiba waktu dan ketikanya...


Rindu

Setiap masa tidak pernah lupa. Tetapi hari ini dan semalam. Hati saya sarat dengan kerinduan.

Kata-kata orang besar syarikat ketika mesyuarat pagi semalam umpama menekan punat ingatan tentang dia. Seperti wayang, satu persatu kisah dia bermain-main di ingatan saya. Kisah suka-duka 11 tahun. Bermula sebagai bos dan akhirnya kawan sejawatan.

Itulah. Orang baik-baik. Budinya tinggi pekertinya elok. Dikenang-kenang. Dirindu-rindu.

Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman.

Selasa, 20 Ogos 2013

Kebun durian

Kesempatan yang jarang-jarang muncul.

Pagi Hari Raya kedua. Seawal 7 pagi, saya, abah, ma, Maksu dan Ayah Da ke kebun durian. Kebun yang menyimpan seribu cerita dan kenangan dengan arwah Aki dan Wan.

Ada rindu yang bertandang...



Sepertinya baru semalam, bersama-sama dengan Wan dan Maksu di kebun durian. Masak Nasi dan mandi sungai. Menjelang petang, duduk dibelakang lori bersama-sama dengan bakul durian untuk balik ke rumah. Tahun-tahun sebelum arwah Aki jatuh sakit diserang angin ahmar.

Pokoknya semakin meninggi.Sungguh tenang disini.


Buah manggis sudah mahu masak. Menunggu masa sahaja. Dulu-dulu saya memanjat sampai ke atas. Dahan pokok manggis kan tersusun cantik. memang mudah nak memanjat. Kini, pokoknya sangat tinggi.


Ini pula pokok rambai..


Cempedak juga berlumba-lumba membuahkan hasil.


Agak-agak durian dah gugur sekarang. Huh, teringinnya balik kampung lagi!



Rabu, 14 Ogos 2013

Satu Hari Di Hari Raya

Hari Raya saya bermula pukul 4 pagi. Berduet dengan Mak Su di dapur. Percubaan membuat Nasi Beriani. Alhamdullillah, menjadi juga hasilnya.


Bersarapan sebelum ke semua bergerak ke masjid.

Agak penuh juga meja dengan juadahnya. Tapiii...semuanya tinggal habuk sahaja menjelang 2 petang.



Raya kali ini saya hanya sempat ziarah beberapa buah rumah sahaja. Setiap kali mahu keluar, setiap kali itulah saudara mara datang menyerang. Beramai-ramai kaedahnya.


Lepas satu kumpulan, bersambung lagi dan lagi. Keputusannya, saya menunggu rumah sahajalah. 


Anak-anaklah yang paling seronok


Bertembung waktu mahu pulang. Bersalaman pula di halaman rumah.



Saya sudah penat mahu ambil gambar petang harinya. Tuan Besar pula sibuk-sibuk jadi photographer.

Pukul 2 petang, Mak Su masuk dapur semula buat mee goreng. Manalah tau ada tetamu lagi petangnya. Memang betul, Ayah Cik ziarah selepas balik dari kerja di laut.


Geng-geng yang makan mee goreng dek kerana Nasi Beriani sudah habis.


Ini pula gambar raya kedua. Rasanya cam mimpi. Semuanya dah besar !


Sesi makan laksa


Dalam riuh rendah, dua biras sibuk mengerjakan durian!


Aidil Fitri dan auranya. Setiap kali raya saya pasti menunggu waktu itu. Perasaan yang sungguh halus. Datangnya tidak tentu ketika dan masanya tetapi pastinya datang. Rasa yang diberikan oleh Dia, Allah Yang Maha Agung. Perasaan yang tentunya akan saya rindui lagi..

Selasa, 13 Ogos 2013

Menjelang Syawal

Balik kampung beraya.

Bertolak balik kampung setelah matahari tegak di kepala hari Isnin. Ikut jadual Tuan Besar. Dia ada kuliah hari Sabtu dan Ahad.

Anak gembira. Saya? Tipulah kalau saya kata tidak gembira. Cumanya tidaklah berperasaan seperti masa kanak-kanak dulu. Dulunya, gembira bila dapat pakai baju baru. Makan rendang. Paling seronok bila dapat duit raya!

Bila usia begini, seronoknya datang bila semua berkumpul. Sama-sama menyediakan juadah raya. Macam-macam ragam. Macam-macam kerenah.

Cuti panjang kali ini, saya sempat dua kali bertarawih dengan ma dan abah bersekali dengan Wan Wook. Lepas terawih, sambung pula dengan moreh. Habis moreh hari Isnin, saya sibuk-sibuk dengan pen dan kertas. Catat apa-apa yang perlu dibeli.

Juga bincang siapa kena siapkan menu. Menu untuk pagi raya. Saya dan Mak Su buat itu. Anjang buat menu sekian. Mak Teh sediakan sekian-sekian. Cik Den kena sediakan rendang. Haha, menu paling menakutkan. Abah sangat kenal rendang yang Ma buat. Nasibla Cik Den.

Malam raya, dua biras sibuk mengerjakan pelita. Apinya besar sebab sumbunya terlebih panjang. Padamkan semula. Tarik sedikit sumbunya ke dalam dan api kurang sedikit marak. Yeay!

 

Kerahkan geng bakar satay lepas siapkan pelita.

Bakar 5 cucuk. Makan 3 cucuk. Adoila



Ada jugak pulut durian. Ma sibuk-sibuk buat petang sebelum berbuka.


Abah bersembang sampai geng bakar satay siap operasi. Ayah Da saya pun sama bersembang. Tidak tahu penat. Walhal baru tiba di Malaysia Tercinta petang sebelum berbuka.



Dua hari sebelum raya yang sangat seronok!

Ahad, 4 Ogos 2013

Penghujung Ramadhan


Tiga hari sahaja lagi Ramadhan akan berakhir. Cepatnya waktu berlalu. Merenung semula Ramadhan kali ini, ada azam yang berjaya dilaksanakan. Ada yang sedikit yang tidak dicapai. Ralat. Moga masih ada peluang untuk bertemu Ramadhan yang datang.

Bercerita tentang iftar, hanya dua kali saya ke Pasar Ramadhan. Membeli juadah berbuka. Selebihnya saya memasak.

"Terlalu banyak godaan. Macam-macam makanan ada" kata kakak.

Seingat saya, itulah kali pertama kakak ke pasar Ramadhan. Kalau berbuka di rumah, menunya macam hari-hari biasa. Bezanya cuma ada kurma dan teh o panas. Kuih terkadang ada terkadang tidak.

Alhamdulillah, usaha yang saya mulakan pada Ramadhan tahun sudah mula menampakkan hasilnya. Seisi rumah sudah mula selesa dengan apa yang ada.Cuma ada sekali dua saya buatkan menu permintaan kakak. Yalah, meraikan dia yang sangat gigih berpuasa. Tahun ini, permintaannya Nasi Tomato.


Tahun ini, kakak pilih oren sebagai warna baju raya. Bukan warna pilihan ibu.



Baju melayu ayah, adik dan baju ibu beli yang siap sahaja. Warna Oren tau. Ibu hanya jahitkan baju kurung kakak. 2 pasang.


Corak baju kurung kedua memang warna pilihan ibu. Sudah lama beli kain. Seingatnya awal tahun ini.



Hajatnya mahu jahit baju kurung untuk diri sendiri tapi fikirkan lebih baik lebihkan perkara lain bersempena Ramadhan ini. Sepatutnya mula menjahit sebelum Ramadhan, barulah Ramadhan tidak sibuk-sibuk nak menjahit. In Sha Allah, harus bersedia lebih awal kalau mahu menjahit sendiri.

Persediaan lain, adalah sedikit kerepek,biskut raya, pakaian dan duit raya untuk emak, ma dan abah. Juga skirt yang saya jahit untuk anak sepupu dua beradik yang akan balik beraya di rumah ma dan abah.


Tuan Besar sudah tukarkan duit raya seawal minggu pertama Ramadhan. Kakak dan adik kena isi duit dalam sampul. Semuanya selesai awal-awal lagi. Saya pun sudah bahagikan duit raya pada Jumaat lepas untuk anak buah di pejabat. :)


Oklah, cukuplah ya. Saya mahu kemas beg untuk balik kampung...

Rabu, 17 Julai 2013

Tiga Cerita di Awal Ramadhan

Alhamdulillah, sudah seminggu berpuasa. Selama itulah juga, saya tinggalkan blog dan facebook. Ada banyak perkara yang perlu diuruskan. Ada perkara baru yang perlu diharung. Selebihnya adalah refleksi diri menyambut Ramadhan.

Ulangtahun Kelahiran

Syukur kepada Allah diberi kesempatan untuk melangkah ke usia yang seterusnya. Dilimpahkan rahmat dan rezeki yang tidak pernah sedikit olehNya walau terkadang jiwa ini agak nakal.




Gambar ini saya ambil seminggu sebelum birthday di pejabat Tuan Besar. Ada rasa yang terselit ketika saya memandang pemandangan ini. Masihkan banyak waktu yang tinggal untuk merebut peluang untuk mencari redhaNya?


Angin Perubahan

Sebulan yang lepas, keadaan di pejabat tenang-tenang sahaja. Orang besar nombor satu di Harvard hampir sebulan. Orang besar nombor dua ke Scotland. Orang besar ketiga ke Beijing. Oh, tiada kata dapat mengambarkan perasaan saya ketika itu. Bos takde :)

Awal Ramadhan membawa cerita gembira kepada Orang besar ketiga. Naik Pangkat. Naik setapak lagi dalam pengurusan korporat. Agak-agaknya apa mimpi yang dibawa balik dari Harvard.
 
 
Sweet and sour. Ya, ada ketikanya rasa pahit untuk memenuhi apa yang dia mahukan. Lima tahun. Cukup untuk mengenal cara dia bekerja. Sudah boleh faham dan membaca apa yang dia mahu. Ketua dan mentor yang bagus. 

Saya? Terfikir-fikir bagaimana menguruskan bos baru. Teringat ketika tahun-tahun awal dengan bos dulu. Bila sistem bermasalah, saya 'pening' untuk memulihkan sistem dan pada sama menguruskan bos yang kalut perlukan segala info. Sekarang saya akan melalui perkara yang sama sekali lagi!

Pengorbanan, refleksi dan kerinduan

Ramadhan ini kali ini saya membonceng dengan Tuan Besar. Takut tapi itulah saya lakukan untuk elakkan sesak jalan raya. Kalau berkereta, 2 jam baru sampai rumah. Pengorbanan sedikit untuk mencari ruang waktu yang lebih dalam Ramadhan ini.



Rutin memasak masih sama. Tiada masakan yang istimewa. Back to Basic. Makan untuk hidup. Refleksi.



Kerinduan. Selalunya, saya teringat orang itu dan teringat orang ini. Orang yang dekat dengan hati. Arwah kawan saya. Bibik saya. Mama saya. Melankolik.

Ketika tengah menyuap makanan hari pertama berbuka, hati berdetik, bagaimanalah ibu mertua saya berbuka tahun ini. Hanya berdua dengan abang ipar sahaja.

Abang ipar saya yang seorang lagi baru sahaja meninggal Mei lalu. Anak saudara pula kembali tinggal dengan ibunya. Ada rasa sayu. Moga emak baik-baik sahaja di kampung...

Tiga cerita. Tiga rasa. Selamat Berpuasa.