Jumaat, 27 Jun 2014

Airmata lagi

Saya sudah tidak peduli lagi kalau pemandu lain perasan keadaan saya ketika itu. Air mata semakin laju. Dikesat tapi tidak juga kering. Ada rindu yang tidak pernah padam. Tidak pernah surut. 

Suara Sheikh Abdul Rahman Al Sudais sungguh menusuk. CD hadiah daripada Ma dan Abah. Pasang dan dengar buat pertama kali. Akan digilirkan dengan  CD Mishary.

Bacaan Sheikh menggamit perbualan kami ketika hayatnya.

"You kenal Abdul Rahman Al Sudais?" dia tanya saya.

"Sheikh baca laju" jawab saya. 

Saya beritahu lagi, saya sukakan bacaan Mishary Rashid Alafashy.

Terus dia buka aplikasi dalam iPad.

"Sedap bacaannya. Asyik sungguh" sambung dia 

Dia bersandar pada kerusi dan pejamkan mata menghayati bacaan Sheikh Abdul Rahman Al Sudais. Nampak seperti orang sedang diamuk cinta. Dia dan Al-Quran, buat saya benar-benar cemburu! 

Setiap kali melewati ayat-ayat tertentu, air mata pasti tumpah. Rindu untuk berbicara seperti dulu. Selalunya berkisar terjemahan kalam Allah. Dibincang dengan santai sekali. 



Hari ini, saya menangis untuk sekian kali. Sudah 3 kali Ramadhan dia tinggalkan saya. 

Rindu. Rindu dan rindu. 

Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Ada Rindu Di Hujung Hati.



Sabtu, 7 Jun 2014

Si Mata Biru

"Kau tengok dia banyak-banyak. Manalah tahu anak kau kenan dia nanti" bisik Kak Lin.

"Nanti keluar, anak mata biru!" Sambung dia lagi sambil mengekek-ngekek.

Kejap-kejap dia panggil Dr Ralf. Konon-konon tak faham. Setiap hari. Bukan main lagi. 

Cerita sepuluh tahun lepas. Waktu itu saya dan Kak Lin dalam kelas Dr Ralf. Kak Lin memang suka Dr Ralf. Payah mahu jumpa orang senegaranya seperti dia. Blue blood with handsome face

Menghabiskan kelas Dr Ralf adalah sesuatu yang memeritkan. Alahan sangat teruk. Tekak hanya mahu susu, roti atau nasi kosong sahaja. 

Lima bulan selepas itu, kakak lahir. Tiada pun mata biru. Darah Melayu. Teori Kak Lin tak menjadi. 


-----

"Ibu nak kakak jadi apa?" tanya kakak. Mahu tahu ibu ingin dia jadi apa bila besar nanti.

"Itu kakak kena fikir sendiri. Kena tahu apa yang kakak suka" balas saya. 

Saya tidak meletak apa-apa harapan mahu dia berkerjaya apa kecuali satu sahaja. 

"Ibu cuma mahu kakak jadi orang baik-baik" sambung saya lagi. 

Perbualan terhenti di situ. Tidak mahu panjangkan definisi orang baik-baik. Saya tahu dia akan bertanya lagi pasal orang baik-baik itu kemudian hari. 

-----

Hari ini, ulangtahun kelahiran kakak. Anak yang suka duduk menempel dan meniru saya. Sangat kritis orangnya tetapi kadang-kadang sedikit kelam kabut. 

Pantas benar waktu berlalu. Masih terbayang-bayang akan momen Tuan Besar memotong tali pusat kakak. Sepertinya baru semalam. Rasa bersyukur kerana Allah pinjamkan kakak sehingga hari ini. Menjadi penawar dan juga perencah dalam kehidupan. Selamat Hari Lahir kakak! 

Selasa, 3 Jun 2014

Kerana terpaksa aku relakan...

Berhimpun depan TV berempat. Saya, kakak, Anjang dan Cikden duduk menonton Kerana Terpaksa, Aku Relakan. Tengok melalui mytonton. Seronok juga apabila sekali sekala menonton ramai-ramai. Izreen makin kurus dan cantik. Komen Cikden, Amar Baharin makin smart sekarang. Nampak lebih kurus dan bergaya. Dulu terlampau jambu...

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Tuan besar keluar. Tidak berkata apa-apa. Diam dan turun ke tingkat bawah. Tiada kata-kata keramat hari ini. 

"Baca Quran lagi bagus..." ayat Tuan Besar kalau lihat saya ralit menonton. 

Tajam sungguh. Tajam sebab benar.

"Bila mahu sambung kerja tadi?" tanya Tuan Besar apabila naik semula.

Sudah terlupa mahu sambung kerja-kerja susun atur dokumen. Rancangnya mahu rehat sekejap sebelum sambung kerja tetapi tersangkut pula depan TV. Agaknya Tuan Besar rimas menengokkan dokumen yang diturunkan dari kabinet masih belum siap dikemaskan. Ini semua salah Izreen dan Amar Baharin! Hahaha...

Petang tadi.

"Boleh tak saya kemaskan bahagian ni?" tanya saya pada Tuan Besar sambil ambil gambar kabinet fail.

"Boleh kalau dah takde kerja sangat" balas Tuan Besar. Pertama kali dapat kebenaran. 

Sebenarnya kabinet ini kawasan larangan untuk semua orang kecuali Tuan Besar. Kabinet untuk simpan fail bil dan urusan kewangan keluarga.



Mula-mula saya tukarkan dahulu label fail. Sekarang sangat galak mahu gunakan kertas glitter. Warna biru.

Hanya gunakan mesin label untuk label. Kena gigih, ada banyak yang perlu disiapkan.



Inilah hasilnya setelah bersambung selepas kena tegur tadi. Hehehe.



Ada beberapa projek lagi untuk kabinet ini. Buat sikit-sikit, lama-lama siap jugak...