Selasa, 31 Disember 2013

2013-Apples and Oranges

Berubah

Jumaat lepas, saya selesaikan HAT-Harrison Assessments Talent.  Pesan email dari HR, jawab dengan keadaan paling tenang dan jujur. Soalannya mudah, siapa saya sebenarnya. 

Rasanya dulu-dulu saya begitu dan begini tetapi sewaktu menyusun statement ketika assessment, saya merasa saya tidak lagi seperti dulu. Berubah. Ya, berubah. Sementelah lagi, usia semakin bertambah. 

2013 - Antara tahun yang penuh dengan warna-warni buat saya. Warna-warni yang membawa perubahan pada saya. 

Saya tidak pernah menyangka akan punya blog lagi setelah blog awalnya dipadamkan. Menjadi seorang introvert sungguh menyukarkan untuk saya menulis. Akhirnya, saya bermula semula setelah 10 tahun. Suami mengizinkan dengan pesanan sekian-sekian. Terima kasih, tuan besar!

Apples and Oranges

Kakak memberikan nama Oranges dan saya menambahkan Apples di hadapannya. Jadilah ia, Apples and Oranges. Cerita pula berkisar tentang pengalaman saya dalam susun atur rumah. Sesekali terselit cerita-cerita saya melalui nota hati. 

Entri pertama bercerita tentang laci botol rempah dan balang biskut raya. Entri seterusnya adalah laci adik. Entri inilah yang membawa saya kepada geng susun atur. Geng yang banyak idea. Kreatif. Empunya susunatur sioca antara orang awal yang menyapa Apples and Oranges. 



Saya masih seakan tidak percaya yang saya mampu menulis walau dihambat kesibukan dan outstation yang tidak putus-putus. Bermula dengan satu entri dan akhirnya beranak-pinak di galeri. Ada yang dari idea asal sendiri dan ada juga dari idea geng-geng susun atur yang lain.


Melihat semula Apples and Oranges, saya rasa ada sedikit rasa kepuasan. Kepuasan dapat berkongsi idea dan pengalaman yang sedikit ini...













Ribut dalam LEKMAN...



Inilah keadaannya apabila susunan tidak praktikal. Sukar nak mencari barang yang dimahukan. Susah pula nak menyusunnya selepas selesai guna. Bercakap banyak pun tak guna, tengok sahajalah projek saya kali ni. 







Isnin, 30 Disember 2013

Alas meja

Ada masa-masa saya rasa menyesal membeli meja makan itu. Empat segi sama dengan lapan kerusi. Susah benar mahu mencari alas meja yang sesuai.

Kali ini sudah nekad, beli kain dan jahit sendiri. Hujung-hujung tahun ini banyak jualan murah. Jengok-jengok harga kalau-kalau berbaloi dibeli. Alhamdulillah, jumpa juga dan dapat potongan. 


Lebarnya 60 inci tapi masih tidak cukup untuk menutup meja dengan cantik. Terpaksa jahit tambahan kain di kiri dan kanan. Barulah kainnya labuh. Kalau tidak, umpama kain baju kurung senteng!


Fuhh...lega bila sudah beralas.

Ahad, 29 Disember 2013

Diperam Agar Masak Ranum

Apa lagi yang boleh dikatakan. Entri.Sudah dua bulan tertangguh.Alasannya, diperam agar masak ranum. Meminjam kata-kata kawan saya, Idash.

Gara-gara menyertai GA di Susun Atur Sioca , saya dapat hadiah yang sangat saya suka dari Canvas D'arte .


Terima kasih, Fizah. Terima kasih, Canvas D'arte!

Jumaat, 27 Disember 2013

Satu langkah permulaan

Menjadi tempat pelarian ketika jiwa diamuk rasa tertekan. 


Produk sendiri. Jenama sendiri. Bersama-sama kawan, menghasilkan Classique Pearl.


Shawl untuk yang suka. Bolehlah menjenguk di FB Classique Pearl...





Khamis, 26 Disember 2013

Dr McDreamy


Membelek majalah ketika penerbangan ke Utara. Ada Dr McDreamy. Soalan kakak tempoh hari muncul semula. 


"Dulu,cita-cita  ibu nak jadi doktor kan?" Tanya kakak.

Mungkin genre buku-buku yang saya gemar baca mencuit rasa ingin tahu kakak. 

"Ya" jawapan pendek dari saya

"Abis tu kenapa ibu tak jadi doktor" sambung kakak lagi

Kakak hanya tahu cita-cita itu sahaja tapi sebenarnya ibu pernah bercita-cita mahu jadi macam-macam. Bermula dengan guru, beralih kepada pensyarah dan akhirnya sungguh terpesona dengan uniform putih seorang doktor. Mahu jadi neurologist. Terselit juga rasa mahu jadi psychologist. Indahnya mimpi budak darjah 3 itu.

Soal kakak, kenapa ibu tak jadi doktor?

Antara impian hati sejak anak-anak dan istikharah. Ibu pilih apa yang datang setelah istikharah. Nekad.
 
Awalnya bergelut dengan perasaan akan pilihan ibu. Bertahun-tahun juga dan akhirnya ibu fahami kenapa Allah lorongkan ibu ke jalan ini. 

Mana mungkin ada cacat dan cela aturanNya. Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang di langit dan bumi. Allah Maha Besar!

Buat kakak, binalah cita-cita apapun yang kakak mahu tapi yang utama, sandaran dan tujuan hanyalah satu. untuk Dia dan kerana Dia, Allah Yang Satu. 





Khamis, 28 November 2013

Bos

7.40 pagi di kafeteria. Dia duduk di sebelah setelah minta izin.

"Macamana bos baru?"

Soalan cepu emas. Tidak terfikir soalan itu akan ditanya. Berfikir-fikir mencari satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan persepsi saya terhadap bos baru. 

"Tapikan....bos lama handsome!" Sambung dia lagi setelah lama saya terdiam.  

Berpandangan dan pecah ketawa berdua. Masih belum berjumpa perkataan yang sesuai untuk bos  baru. 

"Mr J is a good planner and executer" kata saya pada dia. 

Tidak menjawab soalan. Mr J adalah bos lama saya. Kehilangan kata-kata. tidak mampu mencari perkataan yang sesuai untuk bos baru.Mungkin ambil masa yang lama untuk ketemu. Sesungguhnya, Mr J telah meninggalkan kesan yang mendalam.

Akhir-akhir ini, jiwa sepertinya terjatuh. Motivasi seakan rebah dan tidak mahu-mahu pulih. Tidak seperti selalu. Jatuh tetapi melantun semula. 

Kehidupan pejabat agak huru-hara. Penangan bos baru. Ada saat dan waktunya, dada terasa sesak dengan keadaan. Sepertinya kelam dan payah di hadapan.

Mahu berehat sebentar. Memulih semula apa yang hilang.

" Ya Allah, moga pekerjaan inilah yang membawa aku kepadaMu dan membuka jalan-jalan ke syurga"













Rabu, 27 November 2013

Wisata : 6000 ft Above - Cameron Highland

Ada apa dengan Cameron Highland.

Ladang Teh Sg. Palas. Sesuatu yang amat melekat dalam hati saya. Saya suka suasana di Ladang Teh Sg Palas. Apatah lagi, kami orang pertama sampai di Ladang Teh pada hari itu. Tenang dan sejuk pagi yang amat nyaman.


Kakak dan adik seronok. Sudah besar dan sudah boleh menghargai dan menikmati apa itu maksud bercuti.

Masih ada tempat yang tidak dikunjungi di sini. In Sha Allah, jika diberi kelapangan, akan berkunjung lagi...

Isnin, 4 November 2013

Doa


Kakak merengkuk atas katil saya. Baca novel lagi.Begitulah selalunya. Menyelinap masuk ke bilik saya.

"Hah, tak study. Nanti dapat 80 lagi" kata saya.

Muka dia berkerut. 

"Kakak takut."

Saya pandang dia. Tidak faham.

"Kata-kata ibu kan doa"

Saya diam. Rupanya dia takut kata-kata saya menjadi realiti.


Anak ini mengingatkan saya yang selalu lupa. Setiap tutur saya adalah doa buat dia. Bercakaplah yang baik-baik untuk anak. 









Rabu, 23 Oktober 2013

Aksesori Kakak


Sepertinya baru semalam saya di hospital. Bersalinkan kakak. Hari ini sudah besar. Huh, mungkin begini juga perasaannya bila mahu bermenantu nanti! Kalau Tuan Besar baca entri ini mesti katanya, jauh benar fikirnya.

Semasa bayi sibuk dengan susu dan makanannya. Besar sedikit, sibuk pula dengan tadika dan aktiviti. Sekarang sudah mula mahu berlawa-lawa. Sudah punya citarasa sendiri. Baju dan seluar ikut selera sendiri. Tudung pun sama. Terkini, gigih melilit tudung gaya Diana Amir katanya!

Kalau sudah melilit bak Diana Amir dah tentu aksesorinya pun berbagai jugalah. Kerongsang. Sepit rambut dan benda-benda seangkatan dengannya. Hari tu ke Daiso. Jumpa dengan pocket organizer. Beli jugalah. Mahu susun aksesori kakak. 


Ni hah rupanya. RM5.


Aksesori asal letak dalam beg comel ni.


Nampak banyak bila dah keluarkan daripada beg.


Dah siap tapi tempat gantungnya belum siap lagi!

Khamis, 17 Oktober 2013

Intai : Amari Orchid Resort & Tower

Komuniti dalam bidang pengkhususan kerja saya tidak besar. Minoriti.

Beberapa tahun sudah, saya ke HAPUA Thailand. Menjadi wakil delegasi Malaysia. Datang seronok bila berpeluang berkenal-kenal rakan sealiran dari pelosok ASEAN. Seolah-olah bercerita bahasa yang sama. Seperti bertemu buku dan ruas! 

Bermula di Bangkok dan seterusnya ke Pattaya. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik-baik belaka. 

Saya menginap di hotel sangat memuaskan hati di Pattaya.

Amari Orchid Resort & Tower. Hotel yang cantik. Letak duduk bersebelahan dengan Hotel Sangri La kalau tidak silap. Kawasan resort yang sangat luas dan mengadap pantai.  


Landskap pun cantik.


Taman bertingkat-tingkat. Bersebelahan kolam.


Lobi yang sangat luas. Entah kenapa saya teringat akan chess board tatkala memandang jubin lantai. Apapun saya sukakan komposisinya warnanya.


Ruang menunggu sebelum daftar masuk dan keluar.


Bilik saya mengadap hotel lain. Bukan mengadap laut. 


Masuk sahaja ke bilik disambut dengan welcome note di skrin tv. Siap dengan nama penuh. Langsir hotel dan langsir bilik tidur saya ! Bezanya cuma sedikit tebal. Warna bilik, off- white dan sedikit light grey untuk feature wall.


Toliet di sebelah kiri. Toilet yang boleh nampak panorama luar . hahaha ....terpikir dua tiga kali masa mahu lunaskan hajat. 


Clean look. Ada bath tab di belakang katil tapi tiada pula gambarnya.

Bilik yang cantik. Servis pun bagus. Katanya 88% yang pernah ke sini setuju mencadangkan hotel ini kepada yang lain. Buat yang mencari-cari idea untuk ubaisuai rumah mungkin boleh dapat idea daripada sini.  

Jumaat, 11 Oktober 2013

Sebelah purple sebelah kuning

Timothy gelak di hujung talian.

Gelak seperti tidak percaya jadual saya untuk bulan ini dan bulan depan telah penuh. Bulan seterusnya juga hampir penuh. Betul. Saya pun tidak tahu bagaimana saya akan melaluinya. Hampir setiap minggu akan bekerja di luar. Outstation. Sibuk.

Kesibukan ini menghimpit. Hobi menjahit saya tinggalkan. Blog pun semakin jauh. Apatah lagi, projek-projek rumah yang saya aturkan sebelum ini. Ketika menulis entri ini pun, saya jauh dari rumah. Tiga hari berkelana. Menyiapkan business plan. Dari pagi membawa ke malam. Tidak sempat menjelajah blog. 

Apabila saya outstation, semua urusan kakak dan adik akan dibuat oleh Tuan Besar. Diuruskan dengan cemerlang sekali cuma bab-bab pakaian kuranglah sedikit. Pernah dulu semasa kakak kecil, Tuan Besar pakaikan stokin sebelah warna kuning dan sebelah warna purple. Baju dan seluar pun bukan pasangannya. Senyum sahajalah...

Sejak dari itu saya mulakan operasi dalam menyusun atur pakaian kakak. Tidak mahu peristiwa stokin kuning dan purple berulang lagi ! 

Macam-macam cara yang saya cuba pada mulanya sehinggalah saya jumpa dengan kaedah yang saya rasa praktikal buat saya. Alhamdulillah, diam tak diam sudah tiga tahun. Semakin selesa dengan kaedah sekarang. Tak banyak pun, tiga sahaja....

1. Hadkan bilangan pakaian ikut kategori. Baju untuk outing saya hadkan kepada 5 hari 4 malam sahaja. 7 pasang pijama dan 10 pasang baju basahan. Tidak banyak tapi sedang elok cukup untuk kakak. Lebih mudah diuruskan. 

2. Susun baju ikut kegunaan dan kategori. Kalau baju yang digantung adalah baju untuk outing. Yang berlipat pula dalam kotak pula yang dipakai di rumah. Stokin dilipat bersekali dengan pasangannya. Anak tudung dalam tempatnya. juga sama. 

3. Pakaian yang ada almari adalah pakaian yang memang digunakan sehari-hari. Setiap 6 bulan saya akan semak pakaian kakak. Mana-mana yg tidak lagi muat dan tidak lagi dipakai akan dikeluarkan dari almari. 

Oklah, meh kita jenguk almari kakak.



Baju untuk outing.


Baju harian di rumah

Cuma dua gambar sahaja. Gambar lain tiada dalam simpanan saya. Nantilah saya ambil gambar bila balik nanti...

Sabtu, 28 September 2013

Ikan Percik Ubat Rindu


Tiba-tiba sahaja. Terlintas. Teringin makan ikan percik. Kesukaan saya. Ma selalu masakkan apabila ada sesuatu istimewa. Mungkin sebab rindu juga, saya jadi beginikan...

Mehlah tengok rupa menu saya yang tahap-tahap amatur nih.

Lepas ini juga, harus mencari kuali pemanggang ikan yang disebut-sebut kawan-kawan selama ini. Katanya lebih mudah. Gigih memanggang sambil mengelamun. Sikit lagi mau hangus ikannya. Hishhhh...


Ni gambar kuahnya.


Kuahnya:

1 ulas bawang putih - kisar
3 labu bawang besar - kisar
1 cm halia - kisar
1 batang serai - diketuk
2 keping asam keping
3 sudu cili kisar
3 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa.

Caranya:

Tumiskan cili kisar dan masukkan santan kalau sudah pecah minyak. Masukkan bahan-bahan yang dikisar, asam keping dan serai. Kacau kuah sekali sekali. Kalau sudah mengelegak, perlahankan api. Bila agak-agak pekat dan warna keperang-perangan bolehlah tutupkan api dapurnya.

Kalau hari biasa saya tak masak menu ini. Lebih dari setengah jam..



Khamis, 19 September 2013

Suhairil Sunari aka Aeril Zafrel

Watak Adik

Pada babak itu, seisi rumah diam. Menghayati. Dialog ustaz seperti dekat. Halus menyentuh hati. Berkisah tentang doa,harapan, putus asa dan kematian.

Saat semua terdiam, Adik lap airmata dia. Saya seperti tidak percaya. Anak seusia dia tersentuh dengan babak seperti itu. Ya, anak yang baru menjengah 5 tahun bulan sudah.

Benar saya tahu adik lembut orangnya. Tapi saya tidak pernah menyangka hati adik selembut itu. Mungkin semasa mengandungkan dia, saya selalu sangat menangis. Menghadapi saat getir dalam kerjaya dan bertarung dengan kesihatan diri ketika itu.

Saya selalu rasakan adik itu serupa ayah. Kakak itu serupa ibu. Tapi rupa-rupanya, jiwa dan perasaan kakak itu sepertinya ayah. Adik itu rupa-rupanya cerminan saya.

Satu lagi watak kesayangan saya yang saya tidak tahu sebelum ini....

Watak ustaz

Ustaz itu. Mengingatkan saya akan seorang pelakon hebat dalam drama yang jatuh di hati saya. Genre dan latarbelakang yang agak berat. Tapi ratingnya tinggi.Menjadi kegilaan kepada penonton.

Saya kira kegilaan apabila ada peminat sanggup mengumpulkan 100 keping foto wajah pelakon itu dalam drama tersebut . Seratus keping foto ekspresi wajah yang mengambarkan perasaan yang berbeza-beza!


Kekuatannya pada mata. Benar hanya dengan mata, pelakon itu mampu zahirkan pelbagai perasaan. Sungguh bijak menjiwai. Sekejap terasa keegoaannya. Sekejap sedih. Sekejap penuh dengan karisma. Sekejap terdesak. Perasaan dilambung-lambung ketika menonton drama itu.


Kesamaan pelakon itu dengan ‘ ustaz’ . Mata

Siapa ustaz

Sebelum ini saya tidak tahu siapa sebenarnya ‘Ustaz’. Tidak pernah tahu kewujudannya. Apatah lagi, saya sangat-sangat selektif memilih cerita. Genre dan topik yang saya gemar sahaja. Akhir-akhir ini barulah saya tahu siapa pemain watak Ustaz Attar itu. Aeril Zafrel.



Cuma satu yang masih belum terungkai, apa sebenarnya yang menyentuh hati adik, adakah kata-kata ustaz atau ekspresi wajah ustaz yang meruntun jiwa adik. Atau telus dalam mata ustaz ketika berbicara....

Isnin, 16 September 2013

Rak kasut bawah kabinet dapur?


Hari ini separuh hari saya di dapur. Mengemas kabinet dapur. Sambil kemas sambil layan cerita Jodoh Itu Milik Kita. Sebenarnya tidaklah menonton sangat, lebih kepada mendengar sahaja. Jeling-jeling bila ada dialog yang menarik hati. Saya pun tak tahu kenapa saya tengok drama ni. Mungkin sebab Tiz dan Ziela Jalil.Bila dah jeling-menjeling mestilah lama kat dapur. Tapi tak mengapalah. Bukan selalu pun buat begitu.

Hari ini semua kabinet yang ada bekas plastik kena geledah. Kemas dan buang bekas-bekas plastik yang sudah tidak boleh digunakan lagi. Kena selalu buat. Kalau tidak ada benda yang tidak boleh dipakai akan tersimpan.

Sebelum mula mengemas, ambil gambar dalam kabinet bawah dapur saya. Dah lama mahu berkongsi entri susun atur bawah kabinet. Projek hari ini? Nanti-nantilah saya buat entri pasal projek sisih menyisih ni. Hari ini kita fokus bawah kabinet dapur dulu yer.

Apahal pula rak kasut bawah kabinet dapur? Tak pa. tak pa. Kejap lagi kita tengok ya.


Inilah rupanya kabinet dapur saya. Satu dapur sahaja. Tiada dapur basah atau dapur kering.


Dah nampak kan.Rak kasut.Kabinet dapur saya tidak ada para. Masa mula-mula buat dulu, ongkosnya kurang. Jadi ada banyak perkara yang tidak dapat dibuat. Jadinya, buat yang asas sahaja.


Barang-barang yang biasa suri rumah letak bawah kabinet dapur. Minyak, beras, bawang dan kentang.


Nak berhujah panjang-panjang sudah penat teramat. Fikiran sudah ke laut. Mata sudah mahu pejam. Tengok gambar sahajalah yer...

Sabtu, 14 September 2013

Menjahit sambil layan perasaan

Sebenarnya cuti kali ini saya mahu balik kampung. Sudah simpan angan-angan sejak mula masuk kerja selepas hari raya lepas. Bertindih-tindih pula dengan jadual Tuan Besar. Kesihatan Tuan Besar juga tidak elok untuk berjalan jauh. Jadi angan-angan sekadar angan-angan sahajalah. Moga-moga Allah beri kesempatan untuk melunaskan hasrat dalam masa terdekat. In Sha Allah.

Hari pertama cuti, Tuan Besar ada exam. Tinggallah kami bertiga. Anjang sudah selamat sampai di kampung. Beruntunglah dapat makan nasi yang Ma masak! Sedihnya rasa...

Sambil-sambil layan perasaan, masuk bilik menjahit. Keluarkan bekas kain perca.


Tarik kain lebihan buat sarung bantal tempoh hari. Mahu buat sarung untuk panty liner. Nampak tak panty liner dalam bekas lutsinar tu. Nanti tersorok la sikit.


Ini main agak-agak sahaja saiznya. Lipat supaya jadi poket.


Nak berseri bubuhlah renda.


Inilah rupanya bila tuan rumah sudah masuk rumah.


Rupa bahagian depan.


Ini pula bahagian belakang. jahitkan butang supaya sarungnya kemas tidak terbuka.


Nah, kemas tertutup. Lebih sopan santun kan.....


Bagi yang tak tahu ini bekas apa sebenarnya, boleh baca entri saya pasal susun atur dalam handbag kat sini.

Sabtu, 31 Ogos 2013

Ada Rindu Di hujung Hati


Insomnia.

Terkadang susah benar mahu lelap. Bila lelap mudah benar terjaga malam-malam hari. Cemburu pada orang yang sangat mudah tidurnya.

Tapi katanya saya bertuah. Mudah bangun malam. Mudah untuk bertahajjud. Mudah untuk solat sunat. Sesuatu yang tidak terfikir akan saya. Dia melihat apa yang saya tidak 'nampak' sebelum itu.

Pesan itu hidup bersama saya walaupun dia sudah tinggalkan saya. Ya, terngiang-ngiang pada setiap kali saya terjaga pada malam hari.

Kalamullah.

Selalunya dia akan tunjukkan ayat dan terangkan terjermahannya. Tapi hari itu suruh saya cari ayat sekian-sekian. Minta saya bacakan terjemahannya. Saya baca terjemahannya. Terjemahan dalam English yang saya tukarkan dalam bahasa ibunda. Katanya kurang tepat. Saya tunjukkan perkataan itu. Dia buka terjemahan pada gadgetnya. Benar, dua perkataan berbeza.

Baca dan fahamilah Al-Quran. Membaca sahaja sudah besar ganjaranya. Faham akan maksudnya akan membawa ke hati dan tidak tersilap simpang.


Peringatan

2012. Awal tahun. Dia meninggalkan saya dan kawan-kawan. Pada usia muda. Paginya dia masih di pejabat. Berkejaran mnenyiapkan tugasan. Petangnya, dia dijemput Ilahi. Dalam keadaan baik-baik dan mudah.

Perginya dia umpama satu surat peringatan kepada saya. Peringatan tentang sebuah kematian. Benar-benar saya tersentak, persediaan dan usaha yang ada terlalu sedikit. Apa yang ingin saya bawa ke sana.

Ya Allah, Engkau kekalkan peringatan dalam jiwa ini sehingga tiba waktu dan ketikanya...


Rindu

Setiap masa tidak pernah lupa. Tetapi hari ini dan semalam. Hati saya sarat dengan kerinduan.

Kata-kata orang besar syarikat ketika mesyuarat pagi semalam umpama menekan punat ingatan tentang dia. Seperti wayang, satu persatu kisah dia bermain-main di ingatan saya. Kisah suka-duka 11 tahun. Bermula sebagai bos dan akhirnya kawan sejawatan.

Itulah. Orang baik-baik. Budinya tinggi pekertinya elok. Dikenang-kenang. Dirindu-rindu.

Ya Allah, tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman.

Isnin, 26 Ogos 2013

Bersambung cerita gajah lagi

Cerita gajah saya masih tidak sudah-sudah.

Huh, susah benar nak kemaskan bilik menjahit ni. Ada sahaja yang tidak kena. Menjahit tidaklah banyak. Untuk diri sendiri sahaja tapi banyak sangat barangnya. Rimas seh!

Masa bulan puasa hari itu, saya sempat kemaskan kain lebihan buat tudung. Rupa-rupanya banyak yang boleh dibuat tudung kanak-kanak. Meh tengok macamana projek kemas kain tudung lycra.







Oklah, entri ekspres. Semua mahu cepat sahaja...