Memaparkan catatan dengan label Housekeeping. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Housekeeping. Papar semua catatan

Rabu, 26 Jun 2013

Anak dan permainan

Anak saya cuma dua orang. Setakat ini la.Tapi bab sepahkan permainan macam ada sepuluh orang. Boleh jumpa permainan di mana-mana sahaja. Ruang menonton yang tak luas mana pun boleh jadi tempat permainan.


Ruang tamu jadi litar lumba, lapangan terbang, construction area dan landasan keretapi. Itu belum masuk ada jambatan daripada blok merentasi kawasan.


Tak cukup itu, jangan tak tahu, dalam kereta pun ada.


Ini gambar masa bercuti. Sampai ke bilik hotel pun di bawa juga !


Itu cerita adik. Kakak pun sama. Sudah besar tapi masih ralit dengan permainan kegemaran dia. Kakak sangat suka main dengan miniature. Selalu juga dia tengok miniature kat youtube.

Ok, gambar ini saya ambil senyap-senyap. Dia terkantoi tengah main playmobil kesayangan dalam bilik.


Rak atas ada bilik tidur dengan bilik air. Bahagian bawah ada dapur.


Sambil keluar dari bilik, saya pesan pada kakak untuk kemaskan apabila selesai bermain.

Kalau diikutkan boleh pengsan mengenangkan mahu mengemas semua ini. Bagaimana saya uruskan hal ini ?

Pertama
Saya sediakan bakul permainan untuk setiap ruang. Ada bakul untuk permainan di ruang menonton, bilik kakak, dan bilik bawah. Setakat ini cuma bilik Anjang dan bilik tidur saya sahaja yang terselamat. Saya wartakan bilik tidur saya sebagai zon larangan bawa permainan. Kadang-kadang ada juga cubaan membawa masuk permainan ke bilik saya tetapi tidak berjaya. Selalunya kalah kena psiko dengan ibu!

Kedua 
Ajarlah anak-anak untuk kemaskan permainan selepas selesai bermain. Selalunya saya bertanya sudah selesai bermain atau belum. Kalau sudah selesai, saya akan turut sama dengan mereka masukkan permainan dalam bakul yang disediakan untuk ruang itu. Bila selalu praktikan, akan menjadi tabiat untuk mereka. Jadi, adik dan kakak boleh bermain di mana-mana ruang yang mereka mahu dengan syarat semuanya permainan dikemaskan semula.

Oklah, saya mahu berhenti dulu. Nota FIDIC saya kena habiskan sebab esok ada ujian!





Khamis, 20 Jun 2013

Tangan-tangan yang membantu

Kalau ada blog susun atur rumah, mesti rumahnya kemas dan teratur sentiasa.

Oh, jangan bayangkan begitu kat rumah saya tau. Ada ketika teratur dan kemas. Ada masanya, kucar-kacir terutama apabila saya terpaksa bekerja di luar kawasan.


Pertama, saya terima hakikat yang saya tidak mampu buat rumah sentiasa kemas walaupun keinginan saya sememangnya begitu. Tapi seboleh mungkin, saya akan pastikan urusan keluarga tidak terjejas walaupun rumah tidak sekemas seperti yang saya mahukan.

Saya juga kira saya sangat bertuah kerana ada tangan-tangan lain di rumah yang sering membantu buat kerja rumah. Tangan Tuan Besar. Tangan Kakak. Tangan Adik. Juga tangan Anjang.


Tuan Besar sangat ringan tulang membantu. Sangat suka membasuh dan menjemur baju. Walau hakikatnya ada cara membasuh dan menjemur tuan besar yang saya tidak suka, saya pejamkan mata dan terima sahaja. Orang sudah mahu tolong, apa yang tidak kena sedikit itu, terimalah seadanya. Kesediaan dia membantu saya sangat-sangat berbekas dihati. 

Bukan membasuh sahaja, tuan besar juga suka tolong buang sampah dan masak air.

Saya juga melatih kakak untuk menyusun sendiri baju-baju yang telah saya lipat dalam almari dia. Sudah lipat kemas-kemas tapi disusun pula tidak kemas. Tahankan hati. Tidak mengapa. Esok-esok pandailah dia.Empowering your child. Patah perkataan yang saya semat dalam hati kalau masih juga galau. 

Kadang-kadang terkeluar juga dari mulut kakak, kenapa hasilnya tak sekemas seperti ibu buat.


Saya juga selalu minta tolong daripada adik. Budak kecik 4 tahun.  Tolong siram pokok. Tolong kemaskan laci dia. Tolong keluarkan baju daripada beg taska. Alhamdulillah, menjadi. Sekarang bila dia tengok saya sibuk-sibuk mengemas, dia akan sibuk mengemas barang dia.

Anjang. Adik saya. Saya suka kalau cuti dia jatuh pada hari-hari bekerja. Saya akan cuti memasak. Saya akan maklumkan menu. Kadang-kadang mengada juga. Minta menu-menu yang saya teringin. Bila balik dari pejabat, semuanya terhidang bawah tudung saji.



Bantuan ahli keluarga sangat membantu menguruskan rumah dan keluarga. Saya tahu ramai daripada kita suka buat sendiri semua kerja rumah. Yalah, kadang-kadang tidak sampai pada piawaian yang kita mahu. Tapi kita harus ingat, lebih bagus kalau kerja kerja rumah dibuat bersama. Boleh memupuk rasa kebertanggungjawaban terhadap keluarga!

Khamis, 9 Mei 2013

Saya dan melipat kain

Melipat kain adalah kerja yang saya paling tidak suka. Saya rasa sangat 'stress'. Selalunya fikiran saya berkira-kira bila akan siap apabila melipat kain. Begitulah bila tidak ada sistem dan kaedah yang sesuai.

Sebelum saya guna kaedah sekarang, saya melipat baju seminggu sekali. Ya, seminggu sekali. Sebab tidak suka lipat baju. Jadi bila hujung minggu terpaksa mengadap kain baju yang menimbun macam gunung. Kena luangkan masa yang lama untuk lipat baju. Sangat tertekan!

Ia seperti cerita tiada kesudahan. Sampai bila berterusan mahu stress. Jadi, gunakan sedikit ilmu yang selalu digunakan di pejabat. Buat analisa masalah dahulu.

Tidak suka, kain yang banyak dan masa yang lama. Tiga perkara utama dalam masalah saya dan melipat kain.

Tidak suka. Saya perlu alihkan minda saya kepada perkara yang saya suka. Jadi, fikiran saya akan kurang fikirkan bahawa saya sedang melalui keadaan yang amat 'menyeksakan'. Apa saya buat, saya melipat kain sambil tengok drama. Drama Melayu, Korea, Jepun sampailah ke Hindustan. Berkesan !


Kain yang banyak dan masa yang lama. Saling berkaitan. Kalau banyak kainnya, sudah tentu lama untuk siapkan. Ubah. Saya melipat kain dua hari sekali. Kalau saya membasuh pada hari Isnin. Saya akan melipat pada hari Selasa.

Pakaian yang akan dilipat, diasingkan dalam bakul mengikut kategori. Baju adik dengan baju kakak dalam bakul yang sama. Ibu dan ayah berkongsi pula kongsi satu bakul.


Dalam proses melipat, saya gunakan dua bakul. Satu bakul isi pakaian yang hendak dilipat. Satu bakul untuk yang telah dilipat. Kalau tidak, habis satu ruangan untuk letak baju yang sudah dilipat.


Lipat dan masukkan dalam bakul. Tak perlu fikir untuk menyusun ikut kategori. Saya akan susun ikut kategori selepas selesai melipat. Lebih jimat masa. Hanya tujuh minit untuk pakaian seperti dalam gambar kat atas.



Melipat kain sambil menonton drama. Sedar tak sedar siap melipat. Lepas ini, saya angkut bakul masuk bilik kakak dan adik untuk disusun. Boleh rujuk kat sini untuk lihat macamana saya susun baju anak saya. 

Stress saya dah hilang. Percaya atau tidak, saya sangat suka melipat kain sekarang!