Rabu, 23 Oktober 2013

Aksesori Kakak


Sepertinya baru semalam saya di hospital. Bersalinkan kakak. Hari ini sudah besar. Huh, mungkin begini juga perasaannya bila mahu bermenantu nanti! Kalau Tuan Besar baca entri ini mesti katanya, jauh benar fikirnya.

Semasa bayi sibuk dengan susu dan makanannya. Besar sedikit, sibuk pula dengan tadika dan aktiviti. Sekarang sudah mula mahu berlawa-lawa. Sudah punya citarasa sendiri. Baju dan seluar ikut selera sendiri. Tudung pun sama. Terkini, gigih melilit tudung gaya Diana Amir katanya!

Kalau sudah melilit bak Diana Amir dah tentu aksesorinya pun berbagai jugalah. Kerongsang. Sepit rambut dan benda-benda seangkatan dengannya. Hari tu ke Daiso. Jumpa dengan pocket organizer. Beli jugalah. Mahu susun aksesori kakak. 


Ni hah rupanya. RM5.


Aksesori asal letak dalam beg comel ni.


Nampak banyak bila dah keluarkan daripada beg.


Dah siap tapi tempat gantungnya belum siap lagi!

Khamis, 17 Oktober 2013

Intai : Amari Orchid Resort & Tower

Komuniti dalam bidang pengkhususan kerja saya tidak besar. Minoriti.

Beberapa tahun sudah, saya ke HAPUA Thailand. Menjadi wakil delegasi Malaysia. Datang seronok bila berpeluang berkenal-kenal rakan sealiran dari pelosok ASEAN. Seolah-olah bercerita bahasa yang sama. Seperti bertemu buku dan ruas! 

Bermula di Bangkok dan seterusnya ke Pattaya. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik-baik belaka. 

Saya menginap di hotel sangat memuaskan hati di Pattaya.

Amari Orchid Resort & Tower. Hotel yang cantik. Letak duduk bersebelahan dengan Hotel Sangri La kalau tidak silap. Kawasan resort yang sangat luas dan mengadap pantai.  


Landskap pun cantik.


Taman bertingkat-tingkat. Bersebelahan kolam.


Lobi yang sangat luas. Entah kenapa saya teringat akan chess board tatkala memandang jubin lantai. Apapun saya sukakan komposisinya warnanya.


Ruang menunggu sebelum daftar masuk dan keluar.


Bilik saya mengadap hotel lain. Bukan mengadap laut. 


Masuk sahaja ke bilik disambut dengan welcome note di skrin tv. Siap dengan nama penuh. Langsir hotel dan langsir bilik tidur saya ! Bezanya cuma sedikit tebal. Warna bilik, off- white dan sedikit light grey untuk feature wall.


Toliet di sebelah kiri. Toilet yang boleh nampak panorama luar . hahaha ....terpikir dua tiga kali masa mahu lunaskan hajat. 


Clean look. Ada bath tab di belakang katil tapi tiada pula gambarnya.

Bilik yang cantik. Servis pun bagus. Katanya 88% yang pernah ke sini setuju mencadangkan hotel ini kepada yang lain. Buat yang mencari-cari idea untuk ubaisuai rumah mungkin boleh dapat idea daripada sini.  

Jumaat, 11 Oktober 2013

Sebelah purple sebelah kuning

Timothy gelak di hujung talian.

Gelak seperti tidak percaya jadual saya untuk bulan ini dan bulan depan telah penuh. Bulan seterusnya juga hampir penuh. Betul. Saya pun tidak tahu bagaimana saya akan melaluinya. Hampir setiap minggu akan bekerja di luar. Outstation. Sibuk.

Kesibukan ini menghimpit. Hobi menjahit saya tinggalkan. Blog pun semakin jauh. Apatah lagi, projek-projek rumah yang saya aturkan sebelum ini. Ketika menulis entri ini pun, saya jauh dari rumah. Tiga hari berkelana. Menyiapkan business plan. Dari pagi membawa ke malam. Tidak sempat menjelajah blog. 

Apabila saya outstation, semua urusan kakak dan adik akan dibuat oleh Tuan Besar. Diuruskan dengan cemerlang sekali cuma bab-bab pakaian kuranglah sedikit. Pernah dulu semasa kakak kecil, Tuan Besar pakaikan stokin sebelah warna kuning dan sebelah warna purple. Baju dan seluar pun bukan pasangannya. Senyum sahajalah...

Sejak dari itu saya mulakan operasi dalam menyusun atur pakaian kakak. Tidak mahu peristiwa stokin kuning dan purple berulang lagi ! 

Macam-macam cara yang saya cuba pada mulanya sehinggalah saya jumpa dengan kaedah yang saya rasa praktikal buat saya. Alhamdulillah, diam tak diam sudah tiga tahun. Semakin selesa dengan kaedah sekarang. Tak banyak pun, tiga sahaja....

1. Hadkan bilangan pakaian ikut kategori. Baju untuk outing saya hadkan kepada 5 hari 4 malam sahaja. 7 pasang pijama dan 10 pasang baju basahan. Tidak banyak tapi sedang elok cukup untuk kakak. Lebih mudah diuruskan. 

2. Susun baju ikut kegunaan dan kategori. Kalau baju yang digantung adalah baju untuk outing. Yang berlipat pula dalam kotak pula yang dipakai di rumah. Stokin dilipat bersekali dengan pasangannya. Anak tudung dalam tempatnya. juga sama. 

3. Pakaian yang ada almari adalah pakaian yang memang digunakan sehari-hari. Setiap 6 bulan saya akan semak pakaian kakak. Mana-mana yg tidak lagi muat dan tidak lagi dipakai akan dikeluarkan dari almari. 

Oklah, meh kita jenguk almari kakak.



Baju untuk outing.


Baju harian di rumah

Cuma dua gambar sahaja. Gambar lain tiada dalam simpanan saya. Nantilah saya ambil gambar bila balik nanti...