Khamis, 19 September 2013

Suhairil Sunari aka Aeril Zafrel

Watak Adik

Pada babak itu, seisi rumah diam. Menghayati. Dialog ustaz seperti dekat. Halus menyentuh hati. Berkisah tentang doa,harapan, putus asa dan kematian.

Saat semua terdiam, Adik lap airmata dia. Saya seperti tidak percaya. Anak seusia dia tersentuh dengan babak seperti itu. Ya, anak yang baru menjengah 5 tahun bulan sudah.

Benar saya tahu adik lembut orangnya. Tapi saya tidak pernah menyangka hati adik selembut itu. Mungkin semasa mengandungkan dia, saya selalu sangat menangis. Menghadapi saat getir dalam kerjaya dan bertarung dengan kesihatan diri ketika itu.

Saya selalu rasakan adik itu serupa ayah. Kakak itu serupa ibu. Tapi rupa-rupanya, jiwa dan perasaan kakak itu sepertinya ayah. Adik itu rupa-rupanya cerminan saya.

Satu lagi watak kesayangan saya yang saya tidak tahu sebelum ini....

Watak ustaz

Ustaz itu. Mengingatkan saya akan seorang pelakon hebat dalam drama yang jatuh di hati saya. Genre dan latarbelakang yang agak berat. Tapi ratingnya tinggi.Menjadi kegilaan kepada penonton.

Saya kira kegilaan apabila ada peminat sanggup mengumpulkan 100 keping foto wajah pelakon itu dalam drama tersebut . Seratus keping foto ekspresi wajah yang mengambarkan perasaan yang berbeza-beza!


Kekuatannya pada mata. Benar hanya dengan mata, pelakon itu mampu zahirkan pelbagai perasaan. Sungguh bijak menjiwai. Sekejap terasa keegoaannya. Sekejap sedih. Sekejap penuh dengan karisma. Sekejap terdesak. Perasaan dilambung-lambung ketika menonton drama itu.


Kesamaan pelakon itu dengan ‘ ustaz’ . Mata

Siapa ustaz

Sebelum ini saya tidak tahu siapa sebenarnya ‘Ustaz’. Tidak pernah tahu kewujudannya. Apatah lagi, saya sangat-sangat selektif memilih cerita. Genre dan topik yang saya gemar sahaja. Akhir-akhir ini barulah saya tahu siapa pemain watak Ustaz Attar itu. Aeril Zafrel.



Cuma satu yang masih belum terungkai, apa sebenarnya yang menyentuh hati adik, adakah kata-kata ustaz atau ekspresi wajah ustaz yang meruntun jiwa adik. Atau telus dalam mata ustaz ketika berbicara....

4 ulasan: