Ahad, 16 Februari 2014

Acar Ikan Tongkol

Acar ikan tongkol. Kegemaran saya. Ada macam-macam versi resepi. Saya punya resepi ini versi Mama.



Bahan-bahannya:

6 ulas bawang merah - blend
2 ulas bawang putih - blend
1 labu bawang besar - belah 6
3 sudu cili blend
1/2 inci halia - hiris
1/2 camca biji sawi
1 biji tomato
1/2 batang timun - potong dan belah 4
Cuka

Cara-caranya

Gorengkan ikan dengan garam.
Angkat dan asingkan.
Tumiskan cili sehingga garing.
Masukkan biji sawi, halia, bawang merah dan bawang putih.
Masukkan air setengah cawan dan cuka secukup rasa
Reneh sekejap dan masukkan ikan tongkol
Masukkan timun dan tomato
Masukkan garam dan gula (atau bahan perasa)

Saya suka berkuah, jadi versi saya ada kuah sikit. Ringkas dan mudah...




Khamis, 13 Februari 2014

Felt dan kabel?

Saya usahakan projek kali ini sebab saya tidak suka lihat keadaan kabel IPhone dan iPad saya dalam bekas yang saya usung ke hulu dan ke hilir ini. Tidak kemas dan berterabur bila saya tarik kabel keluar. 

 
Tak kemas kan...


Saya gunakan kain felt dan getah. Mulanya mahu jahit 3 jaluran getah tetapi akhirnya ubah kepada satu jaluran sahaja.


Inilah rupanya apabila siap. Saya masukkan kertas tebal sebelum cantumkan 2 keping kain felt.


Selitkan kabel pada celah getah.


Bahagian belakang pun saya jahitkan getah, cuma warna sahaja yang berlainan.


Dah siap dan sedia untuk dimasukkan ke tempatnya.


Ok, siap.

Khamis, 30 Januari 2014

Demam dan kotak

"Tengah hari saya mahu ke mall"

Saya cuma mengangguk sahaja dan masuk ke pejabat. Sepertinya tiada apa-apa dengan apa yg Tuan Besar beritahu. Demam buat naluri hati saya juga lemah.

Sudah masuk hari kedua, demam masih tidak mahu kebah. Demam terasa sangat teruk dikala usia semakin bertambah. Tuan besar suruh berehat sahaja di rumah tapi ada urusan yang perlu diselesaikan juga hari ini.

"Ibu bangun, ada sesuatu untuk ibu ," kakak beria-ia suruh saya bangun. 

Tertidur di sofa lengkap bertudung. Penat. Kalau diikutkan, tidak larat waima mahu membuka mata.

"Ayah, ibu tak bangun" sambung kakak.

Buka juga mata dan nampak kakak dengan kotak. Hulurkan tangan untuk ambil kotak. Kakak, adik dan tuan besar menunggu. 

Dalam kotak, ada kad dari adik dan kakak. Ada sampul putih. Dalam sampul putih ada hadiah. Hadiah sempena ulangtahun perkahwinan. 



Oh, saya terlupa pasal ulangtahun. Rupa-rupanya tuan besar ke mall mahu membeli hadiah. Itulah dia, Tuan Besar. Selalu dengan kejutan-kejutan kecil yang cukup untuk membeli jiwa saya. Bukan pada saya sahaja tetapi juga kakak.

Pernah ibu dan kakak dihadiahkan dengan dua kumtum bunga ros. Katanya, ros untuk semua perempuan di rumah ini. Dengan dua kuntum bunga, dia buat hati saya dan kakak seperti belon.

Saya juga berharap adik juga suatu hati nanti serupa lakunya seperti ayah..



Rabu, 29 Januari 2014

Packing list


Apabila kerja luar, beg pakaian yang di heret. Bila balik kampung, beg pakaian juga yang diheret. Balik kampung dan melancong itu seronok tetapi bab kemas dan susun baju dalam beg yang kurang seronok. Peningnya macam mengalahkan nak buat roket...

Kalau masa adik atau kakak masih baby, macam-macam yang nak dibawa. Menjadi satu tekanan pula rasanya apabila mengemaskan barang-barang hendak dibawa. Turun naik tangga berkali-kali untuk ambik itu dan ini tapi tak siap-siap juga!


Senarai ini saya buat semasa adik masih kecil. Lebih kurang 4-5 tahun lepas. Senarai keperluan untuk  2 orang dewasa, seorang kanak-kanak dan bayi untuk perjalanan 3 hari 2 malam. Kalau saya kerja luar, saya selalu rujuk senarai ini. Tak perlu fikir banyak-banyak nak bawa apa.


Tengoklah senarai ni, dah bertahun berkhidmat sampaikan dah tak de rupa. Lagipun tampal kat papan notis. Lama sangat rancang nak buat elok-elok tapi kan sebab keutamaan kurang maka  jadilah macam tu jugak. Sampailah pertengahan tahun lepas, barulah saya dapat kemaskini senarai. 


Ini pula senarai baru. Senarai ini lebih umum dan lengkap dengan bilangan hari. Saya buatkan senarai untuk 5 hari 4 malam. Kalau 3 hari 2 malam masih boleh rujuk senarai ini. Senarai baru ni dah digunakan sejak tahun lepas. Alhamdullillah, memenuhi keperluan dan sesuai dengan cara saya dan keluarga.


Semalam gigih mencetak dan mahu laminate. Sudah tidak mahu tampal pada papan notis.


Buat 4 keping untuk beg ibu, ayah, kakak dan adik. 


Mana mahu letak? Letak dalam beg la...

Senarai ini benar-benar memudahkan saya. Jimat masa dan tenaga. 

Jumaat, 17 Januari 2014

Bobbin oh bobbin

Lagi-lagi berkisah tentang bilik menjahit saya. Sudah masuk tahun baru. Masih belum siap jugak. Susah benar mahu melapah gajah. Kalau yang tidak tahu cerita gajah, boleh rujuk disini, sini dan sini.

Hujung minggu lepas jugak, saya dengan gigih menjahit kain sekolah kakak. Kain potongan A biru tua. Masa tahap 1, pakai baju kurung sahaja. Senang. Main tunjuk-tunjuk sahaja kat kedai. Tak perlu kumpul semangat untuk menjahit.

Masa memula nak menjahit, susah benar nak cari bobbin yang dah ada benang warna biru. Rasa-rasa ada tapi tak jumpa. Selalunya kalau macam tu, cari bobbin baru dan gulungan benang yang mahu tapikan...bila dah siap terjumpa pula warna yang kita cari tadi. Aiseh, rasa macam buang karen ajer.

Siap sahaja menjahit kain sekolah kakak, saya buat projek sikit. 


Kertas pembalut hadiah dengan kotak yang dipotong ikut saiz bekas yang hendak diisi dengan bobbin.


Masukkan kotak yang dibalut dalam bekas bobbin. Bekas ni bekas kuih raya. Pastu cucuk jarum macam gambar kat atas. Satu batang jarum boleh letak 2 bobbin. Nah dah teratur.

Oklah, saya mahu sambung tulis kertas kerja...manalah tahu kot2 CEPSI Jeju mahu terima saya tahun ini !