Selasa, 14 Mei 2013

Cerita pasal peti sejuk.


Peti ais. Ada tangan-tangan yang suka buka dan tutup pintu peti ais. Tabiat. Serius saya tidak suka tapi semua ahli keluarga kecuali saya, ada tabiat ini. Pasrah.

Peti ais saya jenis dua pintu. Bahagian sejuk beku terletak di bawah. Entri hari ini pasal bahagian atas dahulu. Bahagian beku akan saya ceritakan dalam entri lain. Kalau balik dari kampung selalunya peti sejuk ini akan penuh. Emak saya suka bekalkan makanan. Kadang-kadang dia bekalkan rempah yang telah siap dimasak.

Inilah rupa peti ais saya.

Dari segi susunan pula, saya letakkan ubat pada para paling atas sekali. Untuk keselamatan. Anak saya tidak takut makan ubat. Senang pula dia hendak jalankan operasi kalau ubat diletak pada tempat yang boleh dicapai.

Dalam bakul hijau sebelah kini pula ada telur. Kalau beli sepapan, tempat telur tidak cukup. Jadi saya simpan dalam bakul itu.


Para kedua pula, saya letakkan bahan makanan untuk sarapan. Jem, planta, mayonise dan kaya saya letak dalam dulang hijau. Pagi-pagi tarik sahaja dulang dan letak atas meja untuk sarapan. Pilih sendiri mana yang suka.

Saya juga suka letakkan bekas berisi lebihan makan pada para ini. Para ini memang berada pada aras mata saya. Setiap kali buka peti ais, bahagian inilah yang mula-mula akan saya nampak. Mudahlah perasan makan yang lama sangat duduk dalam peti sejuk ini. Cepatlah sikit dikeluarkan kalau dah tak boleh dimakan lagi.

Para ketiga pula, ada dulang untuk semua bahan kisar untuk memasak. Bawang merah kisar, cili kisar, lengkuas, bawang putih, halia dan asam jawa. Semuanya dalam dulang hijau. Kalau hendak memasak, tarik dan keluarkan sahaja dulang hijau.  Tidak perlu lama-lama mencari bekas cili kisar dan bawang. Pintu peti sejuk tidak terbuka dengan lama. Jimat tenaga eletrik.

Bakul sebelah kiri pula, saya letak buah-buahan. Anak saya boleh tarik bakul ini. Senang. Dia pilih sendiri buah yang dia mahu makan.


Ini pula bahagian berlaci. Satu bahagian untuk sayur dan buah-buahan manakala satu bahagian lagi untuk daging dan produk tenusu.

Saya hanya simpan sayur sahaja pada bahagian ini. Semuanya dalam bekas plastik. Tidak gunakan plastik. Oppss...nenas tidak disimpan dalam bekas plastik.



Bahagian kedua pula saya simpankan bahan makanan seperti kerisik, manisan, ikan pekasam dan ikan bilis. Santan juga saya simpan di sini. Santan yang disimpan akan masakkan terlebih dahulu.


Pada pintu pula, saya simpan telur, sos dan minuman. Ada bekas plastik kecik sebelah air kotak. Bekas itu disediakan untuk letakkan makanan anak saya seperti jeli . Kadang-kadang saya letakkan minuman kultur dalam bekas ini. Memudahkan anak saya.


Inilah cara saya menyusun dalam peti sejuk rumah saya. Anda pula bagaimana?

Sabtu, 11 Mei 2013

Intai : Handbag Siapa?


Handbag siapa? Handbag kawan saya. Sudah dapat kebenaran untuk masukkan dalam blog ini.  Ini kiranya seperti 'sneak peek' handbag kawan saya. Jom, kita tengok macamana dia susun benda dalam handbag dia.


Rekabentuk handbag ini sememangnya memudahkan susun atur didalamnya. Ada tiga ruangan berbeza. Setiap benda disusun dalam ruang masing-masing. Tengoklah, kemaskan? Gincu, bedak, kunci kereta , tisu dan dompet. Benda yang biasa yang anda akan jumpa dalam handbag perempuan.

Dalam banyak-banyak benda yang saya selongkar, saya tertarik kepada 'dompet' kawan saya.


Ada banyak slot dan ruang. Ruang untuk simpan wang kertas. Ada slot untuk kad-kad. Slot boleh dikeluarkan. Saya suka.


Setiap wanita ada kaedah masing-masing dalam menyusun atur dalam handbag masing-masing. Saya sendiri ada kongsikan cara menyusun atur handbag saya di sini. Oklah, terima kasih Puan Jaja kerana sudi bagi peluang saya selongkar handbag anda!

Khamis, 9 Mei 2013

Saya dan melipat kain

Melipat kain adalah kerja yang saya paling tidak suka. Saya rasa sangat 'stress'. Selalunya fikiran saya berkira-kira bila akan siap apabila melipat kain. Begitulah bila tidak ada sistem dan kaedah yang sesuai.

Sebelum saya guna kaedah sekarang, saya melipat baju seminggu sekali. Ya, seminggu sekali. Sebab tidak suka lipat baju. Jadi bila hujung minggu terpaksa mengadap kain baju yang menimbun macam gunung. Kena luangkan masa yang lama untuk lipat baju. Sangat tertekan!

Ia seperti cerita tiada kesudahan. Sampai bila berterusan mahu stress. Jadi, gunakan sedikit ilmu yang selalu digunakan di pejabat. Buat analisa masalah dahulu.

Tidak suka, kain yang banyak dan masa yang lama. Tiga perkara utama dalam masalah saya dan melipat kain.

Tidak suka. Saya perlu alihkan minda saya kepada perkara yang saya suka. Jadi, fikiran saya akan kurang fikirkan bahawa saya sedang melalui keadaan yang amat 'menyeksakan'. Apa saya buat, saya melipat kain sambil tengok drama. Drama Melayu, Korea, Jepun sampailah ke Hindustan. Berkesan !


Kain yang banyak dan masa yang lama. Saling berkaitan. Kalau banyak kainnya, sudah tentu lama untuk siapkan. Ubah. Saya melipat kain dua hari sekali. Kalau saya membasuh pada hari Isnin. Saya akan melipat pada hari Selasa.

Pakaian yang akan dilipat, diasingkan dalam bakul mengikut kategori. Baju adik dengan baju kakak dalam bakul yang sama. Ibu dan ayah berkongsi pula kongsi satu bakul.


Dalam proses melipat, saya gunakan dua bakul. Satu bakul isi pakaian yang hendak dilipat. Satu bakul untuk yang telah dilipat. Kalau tidak, habis satu ruangan untuk letak baju yang sudah dilipat.


Lipat dan masukkan dalam bakul. Tak perlu fikir untuk menyusun ikut kategori. Saya akan susun ikut kategori selepas selesai melipat. Lebih jimat masa. Hanya tujuh minit untuk pakaian seperti dalam gambar kat atas.



Melipat kain sambil menonton drama. Sedar tak sedar siap melipat. Lepas ini, saya angkut bakul masuk bilik kakak dan adik untuk disusun. Boleh rujuk kat sini untuk lihat macamana saya susun baju anak saya. 

Stress saya dah hilang. Percaya atau tidak, saya sangat suka melipat kain sekarang! 

Isnin, 6 Mei 2013

Benang dan renda


Macamana nak masukkan gajah dalam peti sejuk?

Jawapan saya, potong kecil-kecil dan masukan dalam peti sejuk. Apa kena mengena gajah dalam cerita hari ini? Ini cuma analogi. Cerita sebenar mengenai kaedah atau pelaksanaan yang perlu sekiranya aktiviti yang ingin dibuat memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.

Saya ada banyak benda yang ingin dibuat untuk bilik menjahit saya. Jika dihitung-hitung, berhari-hari jugalah. Mahu ubah dan kemas semula alatan menjahit. Mahu buat label. Juga mahu mengecat almari perkakasan saya. Mahu buat itu dan mahu buat ini tapi mahu mula pada bahagian mana dahulu?

Oklah, kita mulakan dengan yang mudah dahulu. Kemas alatan menjahit.


Alatan menjahit saya tidaklah banyak. Sedikit sahaja. Sekadar untuk projek rumah sendiri. Saya simpan alatan menjahit dalam bekas plastik biasa. Lutsinar. Senang nak lihat apa isinya. Lihatlah benang saya sudah tidak lagi muat dalam bekas plastik kecil. Berterabur. Bekas renda saya juga sama.


Kemas sedikit bila sudah disusun.



Selepas itu, kita susun pula benang.


Ok, sudah siap.


Cuma label sahaja belum buat. Nanti-nantilah. Fasa kedua nanti kita buat label.

Beginilah bila sudah siap. Masih ada banyak benda yang belum selesai. Nanti kita sambung lagi.




Rabu, 1 Mei 2013

Kotak kasut


Dua tiga hari ini suami saya sibuk mengemas dokumen. Saya pun tidak dibenarkan dekat dengan meja kerja. Selama itulah saya terpaksa menumpang meja kakak untuk menggunakan laptop.

Kakak. Saya merasakan adanya saya dalam diri kakak apabila melihat meja belajar dan rak buku dia. Seperti saya, dia juga suka menyusun atur barang-barangnya.


Inilah rupa rak buku kakak. Sempat juga saya menyelongkar kotak kasut tu. Oh, dia simpan hadiah alatulis dan barang-barang keperluan persekolahan.


Pagi tadi saya ke kedai kegemaran dekat dengan rumah. Beli kertas pembalut hadiah. RM1 sekeping. Beli 3 keping. Semak juga harga kotak yang pasang siap. RM7.50 untuk yang bersaiz kecil. Yang agak besar sedikit RM11.50.


Saya potong kertas hadiah dan tampal pada magazine folder ni. Seronok buat projek kali ini. Kakak pun tolong balutkan kotak. Saya potong kertas. Dia potong pita pelekat sambil bersembang sampaikan kami terlupa nak ambil gambar masa tengah membalut kotak.


Ok, inilah gambar selepas kotak dan magazine folder dibalut. Kakak sangat puas hati.  Saya? Sungguh seronok. Ada dua perkara baik. Pertama, saya hanya keluarkan duit sebanyak RM3.00 sahaja untuk projek ini. Kedua, saya dan kakak sama-sama buat projek!