Jumaat, 11 Oktober 2013

Sebelah purple sebelah kuning

Timothy gelak di hujung talian.

Gelak seperti tidak percaya jadual saya untuk bulan ini dan bulan depan telah penuh. Bulan seterusnya juga hampir penuh. Betul. Saya pun tidak tahu bagaimana saya akan melaluinya. Hampir setiap minggu akan bekerja di luar. Outstation. Sibuk.

Kesibukan ini menghimpit. Hobi menjahit saya tinggalkan. Blog pun semakin jauh. Apatah lagi, projek-projek rumah yang saya aturkan sebelum ini. Ketika menulis entri ini pun, saya jauh dari rumah. Tiga hari berkelana. Menyiapkan business plan. Dari pagi membawa ke malam. Tidak sempat menjelajah blog. 

Apabila saya outstation, semua urusan kakak dan adik akan dibuat oleh Tuan Besar. Diuruskan dengan cemerlang sekali cuma bab-bab pakaian kuranglah sedikit. Pernah dulu semasa kakak kecil, Tuan Besar pakaikan stokin sebelah warna kuning dan sebelah warna purple. Baju dan seluar pun bukan pasangannya. Senyum sahajalah...

Sejak dari itu saya mulakan operasi dalam menyusun atur pakaian kakak. Tidak mahu peristiwa stokin kuning dan purple berulang lagi ! 

Macam-macam cara yang saya cuba pada mulanya sehinggalah saya jumpa dengan kaedah yang saya rasa praktikal buat saya. Alhamdulillah, diam tak diam sudah tiga tahun. Semakin selesa dengan kaedah sekarang. Tak banyak pun, tiga sahaja....

1. Hadkan bilangan pakaian ikut kategori. Baju untuk outing saya hadkan kepada 5 hari 4 malam sahaja. 7 pasang pijama dan 10 pasang baju basahan. Tidak banyak tapi sedang elok cukup untuk kakak. Lebih mudah diuruskan. 

2. Susun baju ikut kegunaan dan kategori. Kalau baju yang digantung adalah baju untuk outing. Yang berlipat pula dalam kotak pula yang dipakai di rumah. Stokin dilipat bersekali dengan pasangannya. Anak tudung dalam tempatnya. juga sama. 

3. Pakaian yang ada almari adalah pakaian yang memang digunakan sehari-hari. Setiap 6 bulan saya akan semak pakaian kakak. Mana-mana yg tidak lagi muat dan tidak lagi dipakai akan dikeluarkan dari almari. 

Oklah, meh kita jenguk almari kakak.



Baju untuk outing.


Baju harian di rumah

Cuma dua gambar sahaja. Gambar lain tiada dalam simpanan saya. Nantilah saya ambil gambar bila balik nanti...

Sabtu, 28 September 2013

Ikan Percik Ubat Rindu


Tiba-tiba sahaja. Terlintas. Teringin makan ikan percik. Kesukaan saya. Ma selalu masakkan apabila ada sesuatu istimewa. Mungkin sebab rindu juga, saya jadi beginikan...

Mehlah tengok rupa menu saya yang tahap-tahap amatur nih.

Lepas ini juga, harus mencari kuali pemanggang ikan yang disebut-sebut kawan-kawan selama ini. Katanya lebih mudah. Gigih memanggang sambil mengelamun. Sikit lagi mau hangus ikannya. Hishhhh...


Ni gambar kuahnya.


Kuahnya:

1 ulas bawang putih - kisar
3 labu bawang besar - kisar
1 cm halia - kisar
1 batang serai - diketuk
2 keping asam keping
3 sudu cili kisar
3 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa.

Caranya:

Tumiskan cili kisar dan masukkan santan kalau sudah pecah minyak. Masukkan bahan-bahan yang dikisar, asam keping dan serai. Kacau kuah sekali sekali. Kalau sudah mengelegak, perlahankan api. Bila agak-agak pekat dan warna keperang-perangan bolehlah tutupkan api dapurnya.

Kalau hari biasa saya tak masak menu ini. Lebih dari setengah jam..



Khamis, 19 September 2013

Suhairil Sunari aka Aeril Zafrel

Watak Adik

Pada babak itu, seisi rumah diam. Menghayati. Dialog ustaz seperti dekat. Halus menyentuh hati. Berkisah tentang doa,harapan, putus asa dan kematian.

Saat semua terdiam, Adik lap airmata dia. Saya seperti tidak percaya. Anak seusia dia tersentuh dengan babak seperti itu. Ya, anak yang baru menjengah 5 tahun bulan sudah.

Benar saya tahu adik lembut orangnya. Tapi saya tidak pernah menyangka hati adik selembut itu. Mungkin semasa mengandungkan dia, saya selalu sangat menangis. Menghadapi saat getir dalam kerjaya dan bertarung dengan kesihatan diri ketika itu.

Saya selalu rasakan adik itu serupa ayah. Kakak itu serupa ibu. Tapi rupa-rupanya, jiwa dan perasaan kakak itu sepertinya ayah. Adik itu rupa-rupanya cerminan saya.

Satu lagi watak kesayangan saya yang saya tidak tahu sebelum ini....

Watak ustaz

Ustaz itu. Mengingatkan saya akan seorang pelakon hebat dalam drama yang jatuh di hati saya. Genre dan latarbelakang yang agak berat. Tapi ratingnya tinggi.Menjadi kegilaan kepada penonton.

Saya kira kegilaan apabila ada peminat sanggup mengumpulkan 100 keping foto wajah pelakon itu dalam drama tersebut . Seratus keping foto ekspresi wajah yang mengambarkan perasaan yang berbeza-beza!


Kekuatannya pada mata. Benar hanya dengan mata, pelakon itu mampu zahirkan pelbagai perasaan. Sungguh bijak menjiwai. Sekejap terasa keegoaannya. Sekejap sedih. Sekejap penuh dengan karisma. Sekejap terdesak. Perasaan dilambung-lambung ketika menonton drama itu.


Kesamaan pelakon itu dengan ‘ ustaz’ . Mata

Siapa ustaz

Sebelum ini saya tidak tahu siapa sebenarnya ‘Ustaz’. Tidak pernah tahu kewujudannya. Apatah lagi, saya sangat-sangat selektif memilih cerita. Genre dan topik yang saya gemar sahaja. Akhir-akhir ini barulah saya tahu siapa pemain watak Ustaz Attar itu. Aeril Zafrel.



Cuma satu yang masih belum terungkai, apa sebenarnya yang menyentuh hati adik, adakah kata-kata ustaz atau ekspresi wajah ustaz yang meruntun jiwa adik. Atau telus dalam mata ustaz ketika berbicara....

Isnin, 16 September 2013

Rak kasut bawah kabinet dapur?


Hari ini separuh hari saya di dapur. Mengemas kabinet dapur. Sambil kemas sambil layan cerita Jodoh Itu Milik Kita. Sebenarnya tidaklah menonton sangat, lebih kepada mendengar sahaja. Jeling-jeling bila ada dialog yang menarik hati. Saya pun tak tahu kenapa saya tengok drama ni. Mungkin sebab Tiz dan Ziela Jalil.Bila dah jeling-menjeling mestilah lama kat dapur. Tapi tak mengapalah. Bukan selalu pun buat begitu.

Hari ini semua kabinet yang ada bekas plastik kena geledah. Kemas dan buang bekas-bekas plastik yang sudah tidak boleh digunakan lagi. Kena selalu buat. Kalau tidak ada benda yang tidak boleh dipakai akan tersimpan.

Sebelum mula mengemas, ambil gambar dalam kabinet bawah dapur saya. Dah lama mahu berkongsi entri susun atur bawah kabinet. Projek hari ini? Nanti-nantilah saya buat entri pasal projek sisih menyisih ni. Hari ini kita fokus bawah kabinet dapur dulu yer.

Apahal pula rak kasut bawah kabinet dapur? Tak pa. tak pa. Kejap lagi kita tengok ya.


Inilah rupanya kabinet dapur saya. Satu dapur sahaja. Tiada dapur basah atau dapur kering.


Dah nampak kan.Rak kasut.Kabinet dapur saya tidak ada para. Masa mula-mula buat dulu, ongkosnya kurang. Jadi ada banyak perkara yang tidak dapat dibuat. Jadinya, buat yang asas sahaja.


Barang-barang yang biasa suri rumah letak bawah kabinet dapur. Minyak, beras, bawang dan kentang.


Nak berhujah panjang-panjang sudah penat teramat. Fikiran sudah ke laut. Mata sudah mahu pejam. Tengok gambar sahajalah yer...

Sabtu, 14 September 2013

Menjahit sambil layan perasaan

Sebenarnya cuti kali ini saya mahu balik kampung. Sudah simpan angan-angan sejak mula masuk kerja selepas hari raya lepas. Bertindih-tindih pula dengan jadual Tuan Besar. Kesihatan Tuan Besar juga tidak elok untuk berjalan jauh. Jadi angan-angan sekadar angan-angan sahajalah. Moga-moga Allah beri kesempatan untuk melunaskan hasrat dalam masa terdekat. In Sha Allah.

Hari pertama cuti, Tuan Besar ada exam. Tinggallah kami bertiga. Anjang sudah selamat sampai di kampung. Beruntunglah dapat makan nasi yang Ma masak! Sedihnya rasa...

Sambil-sambil layan perasaan, masuk bilik menjahit. Keluarkan bekas kain perca.


Tarik kain lebihan buat sarung bantal tempoh hari. Mahu buat sarung untuk panty liner. Nampak tak panty liner dalam bekas lutsinar tu. Nanti tersorok la sikit.


Ini main agak-agak sahaja saiznya. Lipat supaya jadi poket.


Nak berseri bubuhlah renda.


Inilah rupanya bila tuan rumah sudah masuk rumah.


Rupa bahagian depan.


Ini pula bahagian belakang. jahitkan butang supaya sarungnya kemas tidak terbuka.


Nah, kemas tertutup. Lebih sopan santun kan.....


Bagi yang tak tahu ini bekas apa sebenarnya, boleh baca entri saya pasal susun atur dalam handbag kat sini.