Rabu, 26 Jun 2013

Anak dan permainan

Anak saya cuma dua orang. Setakat ini la.Tapi bab sepahkan permainan macam ada sepuluh orang. Boleh jumpa permainan di mana-mana sahaja. Ruang menonton yang tak luas mana pun boleh jadi tempat permainan.


Ruang tamu jadi litar lumba, lapangan terbang, construction area dan landasan keretapi. Itu belum masuk ada jambatan daripada blok merentasi kawasan.


Tak cukup itu, jangan tak tahu, dalam kereta pun ada.


Ini gambar masa bercuti. Sampai ke bilik hotel pun di bawa juga !


Itu cerita adik. Kakak pun sama. Sudah besar tapi masih ralit dengan permainan kegemaran dia. Kakak sangat suka main dengan miniature. Selalu juga dia tengok miniature kat youtube.

Ok, gambar ini saya ambil senyap-senyap. Dia terkantoi tengah main playmobil kesayangan dalam bilik.


Rak atas ada bilik tidur dengan bilik air. Bahagian bawah ada dapur.


Sambil keluar dari bilik, saya pesan pada kakak untuk kemaskan apabila selesai bermain.

Kalau diikutkan boleh pengsan mengenangkan mahu mengemas semua ini. Bagaimana saya uruskan hal ini ?

Pertama
Saya sediakan bakul permainan untuk setiap ruang. Ada bakul untuk permainan di ruang menonton, bilik kakak, dan bilik bawah. Setakat ini cuma bilik Anjang dan bilik tidur saya sahaja yang terselamat. Saya wartakan bilik tidur saya sebagai zon larangan bawa permainan. Kadang-kadang ada juga cubaan membawa masuk permainan ke bilik saya tetapi tidak berjaya. Selalunya kalah kena psiko dengan ibu!

Kedua 
Ajarlah anak-anak untuk kemaskan permainan selepas selesai bermain. Selalunya saya bertanya sudah selesai bermain atau belum. Kalau sudah selesai, saya akan turut sama dengan mereka masukkan permainan dalam bakul yang disediakan untuk ruang itu. Bila selalu praktikan, akan menjadi tabiat untuk mereka. Jadi, adik dan kakak boleh bermain di mana-mana ruang yang mereka mahu dengan syarat semuanya permainan dikemaskan semula.

Oklah, saya mahu berhenti dulu. Nota FIDIC saya kena habiskan sebab esok ada ujian!





Selasa, 25 Jun 2013

Intai : Avillion Admiral Cove

Saya keseorangan di sini. Ada tugasan.

Ada cerita sebelum saya masuk ke bilik. Berkali-kali mencuba tetapi gagal. Kad elektronik rosak. Terpaksa ke kaunter untuk minta bantuan. Sudahnya, ditukarkan ke bilik lain.

Cozy. Saya suka tona warna. Terasa lapang dan bilik sedikit besar daripada bilik hotel biasa. Sedikit sejuk dimalam hari kerana lantai berjubin.



Lapang dan luas. Satu perkara yang saya suka. Semua peralatan disimpan dalam laci dan kabinet.


Saya suka jubin hijau. Ala-ala jubin di rumah saya.


Mungkin ada di luar sana sedang mencari-cari idea untuk deko rumah baru. Bolehlah buat bilik tidur seperti ini...

Isnin, 24 Jun 2013

Wisata : Pagi di Avillion Admiral Cove

Gambar yang saya ambil pada Mac lepas. Pagi yang sangat tenang dan syahdu. Cantik dan elok. Tanda kebesaran dan kekuasaanNya.


Pagi tadi, API di Port Dickson sudah melebihi 330. Keindahan pagi yang saya rakam ini mungkin 'lemas' ditelan jerebu.  Jangan putus berdoa kepadaNya meminta agar dugaan ini cepat berakhir.

Khamis, 20 Jun 2013

Tangan-tangan yang membantu

Kalau ada blog susun atur rumah, mesti rumahnya kemas dan teratur sentiasa.

Oh, jangan bayangkan begitu kat rumah saya tau. Ada ketika teratur dan kemas. Ada masanya, kucar-kacir terutama apabila saya terpaksa bekerja di luar kawasan.


Pertama, saya terima hakikat yang saya tidak mampu buat rumah sentiasa kemas walaupun keinginan saya sememangnya begitu. Tapi seboleh mungkin, saya akan pastikan urusan keluarga tidak terjejas walaupun rumah tidak sekemas seperti yang saya mahukan.

Saya juga kira saya sangat bertuah kerana ada tangan-tangan lain di rumah yang sering membantu buat kerja rumah. Tangan Tuan Besar. Tangan Kakak. Tangan Adik. Juga tangan Anjang.


Tuan Besar sangat ringan tulang membantu. Sangat suka membasuh dan menjemur baju. Walau hakikatnya ada cara membasuh dan menjemur tuan besar yang saya tidak suka, saya pejamkan mata dan terima sahaja. Orang sudah mahu tolong, apa yang tidak kena sedikit itu, terimalah seadanya. Kesediaan dia membantu saya sangat-sangat berbekas dihati. 

Bukan membasuh sahaja, tuan besar juga suka tolong buang sampah dan masak air.

Saya juga melatih kakak untuk menyusun sendiri baju-baju yang telah saya lipat dalam almari dia. Sudah lipat kemas-kemas tapi disusun pula tidak kemas. Tahankan hati. Tidak mengapa. Esok-esok pandailah dia.Empowering your child. Patah perkataan yang saya semat dalam hati kalau masih juga galau. 

Kadang-kadang terkeluar juga dari mulut kakak, kenapa hasilnya tak sekemas seperti ibu buat.


Saya juga selalu minta tolong daripada adik. Budak kecik 4 tahun.  Tolong siram pokok. Tolong kemaskan laci dia. Tolong keluarkan baju daripada beg taska. Alhamdulillah, menjadi. Sekarang bila dia tengok saya sibuk-sibuk mengemas, dia akan sibuk mengemas barang dia.

Anjang. Adik saya. Saya suka kalau cuti dia jatuh pada hari-hari bekerja. Saya akan cuti memasak. Saya akan maklumkan menu. Kadang-kadang mengada juga. Minta menu-menu yang saya teringin. Bila balik dari pejabat, semuanya terhidang bawah tudung saji.



Bantuan ahli keluarga sangat membantu menguruskan rumah dan keluarga. Saya tahu ramai daripada kita suka buat sendiri semua kerja rumah. Yalah, kadang-kadang tidak sampai pada piawaian yang kita mahu. Tapi kita harus ingat, lebih bagus kalau kerja kerja rumah dibuat bersama. Boleh memupuk rasa kebertanggungjawaban terhadap keluarga!

Sabtu, 15 Jun 2013

Memasak...

"Sedap sangat roti sardin. Adik makan dengan kawan adik"

Cerita adik masa saya ambil dia dari taska. Adik sangat pandai beli jiwa saya. Sama macam kakak.

"Ibu tak masak malam ni tau"

"Ala ibu masak la" adik buat muka merajuk.

Sebenarnya, selepas sediakan sandwich pagi tadi saya memang berniat untuk cuti dari memasak hari ini. Entah kenapa minggu ini saya rasa seperti kurang sihat. Mungkin tekanan di tempat kerja.

Kalau saya tiada apa-apa halangan, saya sebolehnya akan sediakan sendiri makan malam. Setiap hari.  Kebiasaannya, saya akan terus ke dapur apabila sampai sahaja di rumah. 

Selalunya 6.30 petang saya sampai  ke rumah. Pukul 6.40-6.45 masuk dapur dan selesai semuanya termasuk cuci-mencuci pukul 7.15-7.20 petang. Semua kena laju.

Apa yang saya masak? Setengah jam sahaja. Tiada yang 'out of the box'. Kalau mahu cuba resepi baru, tunggu hingga hujung minggu. Tiada rahsia sangat pasal memasak dengan cepat ini.

Perkara yang paling penting, rancang menu. Saya biasanya rancang menu untuk dua minggu. Saya beli barang basah seminggu sekali. Ikan, daging atau ayam dimasukkan dalam bekas siap-siap ikut jadual. Satu bekas untuk menu sehari. Jadi cuma ada 7 bekas.



Satu lagi, penyediaan barang mentah, ramai yang gunakan cara ni. Sediakan bawang kisar, cili kisar dan serai siap-siap dan simpan dalam peti sejuk. Saya hanya kisar bahan-bahan tersebut mengikut kuantiti yang akan digunakan dalam minggu itu. Semuanya perlu dihabiskan dalam seminggu.


Ini pula cara simpan lengkuas. Simpan dalam air. Tahan lama dan tidak kering.


Semua bahan-bahan tadi saya masukkan dalam dulang hijau. Macam gambar kat bawah. Bila mahu memasak, saya keluarkan sahaja dulang hijau dulu itu.


Untuk memasak pula saya akan mula masak menu yang akan mengambil masa yang paling lama. Kalau masak sayur sekejap sahaja. Koordinasi sangat penting. Kalau menu hari tu kari ikan dan sayur campur goreng, saya akan mulakan dengan memasak nasi, selepas itu masak masak kari. Sambil-sambil saya akan potong sayur.

Macam inilah menu makan malam saya sekeluarga. Hanya dua lauk sahaja. Yang penting, boleh dimasak dalam masa 30-35 minit sahaja!



Cuma hujung minggu barulah duduk lama-lama di dapur. Masak laksa, nasi ayam atau panggang kambing!




Masa mula-mula kahwin dulu, bukan main lama duduk di dapur walhal masak dua lauk sahaja. Pengalaman sangat membantu saya dalam menguruskan perihal masak-memasak...