Jumaat, 27 Disember 2013

Satu langkah permulaan

Menjadi tempat pelarian ketika jiwa diamuk rasa tertekan. 


Produk sendiri. Jenama sendiri. Bersama-sama kawan, menghasilkan Classique Pearl.


Shawl untuk yang suka. Bolehlah menjenguk di FB Classique Pearl...





Khamis, 26 Disember 2013

Dr McDreamy


Membelek majalah ketika penerbangan ke Utara. Ada Dr McDreamy. Soalan kakak tempoh hari muncul semula. 


"Dulu,cita-cita  ibu nak jadi doktor kan?" Tanya kakak.

Mungkin genre buku-buku yang saya gemar baca mencuit rasa ingin tahu kakak. 

"Ya" jawapan pendek dari saya

"Abis tu kenapa ibu tak jadi doktor" sambung kakak lagi

Kakak hanya tahu cita-cita itu sahaja tapi sebenarnya ibu pernah bercita-cita mahu jadi macam-macam. Bermula dengan guru, beralih kepada pensyarah dan akhirnya sungguh terpesona dengan uniform putih seorang doktor. Mahu jadi neurologist. Terselit juga rasa mahu jadi psychologist. Indahnya mimpi budak darjah 3 itu.

Soal kakak, kenapa ibu tak jadi doktor?

Antara impian hati sejak anak-anak dan istikharah. Ibu pilih apa yang datang setelah istikharah. Nekad.
 
Awalnya bergelut dengan perasaan akan pilihan ibu. Bertahun-tahun juga dan akhirnya ibu fahami kenapa Allah lorongkan ibu ke jalan ini. 

Mana mungkin ada cacat dan cela aturanNya. Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang di langit dan bumi. Allah Maha Besar!

Buat kakak, binalah cita-cita apapun yang kakak mahu tapi yang utama, sandaran dan tujuan hanyalah satu. untuk Dia dan kerana Dia, Allah Yang Satu. 





Khamis, 28 November 2013

Bos

7.40 pagi di kafeteria. Dia duduk di sebelah setelah minta izin.

"Macamana bos baru?"

Soalan cepu emas. Tidak terfikir soalan itu akan ditanya. Berfikir-fikir mencari satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan persepsi saya terhadap bos baru. 

"Tapikan....bos lama handsome!" Sambung dia lagi setelah lama saya terdiam.  

Berpandangan dan pecah ketawa berdua. Masih belum berjumpa perkataan yang sesuai untuk bos  baru. 

"Mr J is a good planner and executer" kata saya pada dia. 

Tidak menjawab soalan. Mr J adalah bos lama saya. Kehilangan kata-kata. tidak mampu mencari perkataan yang sesuai untuk bos baru.Mungkin ambil masa yang lama untuk ketemu. Sesungguhnya, Mr J telah meninggalkan kesan yang mendalam.

Akhir-akhir ini, jiwa sepertinya terjatuh. Motivasi seakan rebah dan tidak mahu-mahu pulih. Tidak seperti selalu. Jatuh tetapi melantun semula. 

Kehidupan pejabat agak huru-hara. Penangan bos baru. Ada saat dan waktunya, dada terasa sesak dengan keadaan. Sepertinya kelam dan payah di hadapan.

Mahu berehat sebentar. Memulih semula apa yang hilang.

" Ya Allah, moga pekerjaan inilah yang membawa aku kepadaMu dan membuka jalan-jalan ke syurga"













Rabu, 27 November 2013

Wisata : 6000 ft Above - Cameron Highland

Ada apa dengan Cameron Highland.

Ladang Teh Sg. Palas. Sesuatu yang amat melekat dalam hati saya. Saya suka suasana di Ladang Teh Sg Palas. Apatah lagi, kami orang pertama sampai di Ladang Teh pada hari itu. Tenang dan sejuk pagi yang amat nyaman.


Kakak dan adik seronok. Sudah besar dan sudah boleh menghargai dan menikmati apa itu maksud bercuti.

Masih ada tempat yang tidak dikunjungi di sini. In Sha Allah, jika diberi kelapangan, akan berkunjung lagi...

Isnin, 4 November 2013

Doa


Kakak merengkuk atas katil saya. Baca novel lagi.Begitulah selalunya. Menyelinap masuk ke bilik saya.

"Hah, tak study. Nanti dapat 80 lagi" kata saya.

Muka dia berkerut. 

"Kakak takut."

Saya pandang dia. Tidak faham.

"Kata-kata ibu kan doa"

Saya diam. Rupanya dia takut kata-kata saya menjadi realiti.


Anak ini mengingatkan saya yang selalu lupa. Setiap tutur saya adalah doa buat dia. Bercakaplah yang baik-baik untuk anak.